Menurut Penyelaras PIKAP, Azman Arshad, pertemuan tersebut bertujuan bagi mendengar taklimat, amanat dan harapan daripada Ahli Parlimen PAS, sesi ini dihadiri hampir 40 profesional muda dari pelbagai latar belakang pendidikan dan kerjaya.
Katanya, dalam majlis tersebut juga telah diadakan dialog bersama Naib Presiden PAS, YB Dato’ Haji Mahfuz Omar yang juga merupakan Ahli Parlimen Pokok Sena merangkap Ketua Whip Ahli Parlimen PAS.
Beliau berkata, PIKAP merupakan satu inisiatif di bawah Dewan Pemuda PAS Malaysia yang mensasarkan untuk menyediakan sepasukan profesional muda bagi membantu Ahli-ahli Parlimen PAS membahaskan dasar, undang-undang dan isu di Dewan Rakyat dalam bentuk penyediaan fakta, kajian, perbincangan dan penyaluran maklumat berkaitan.
“Ini adalah sebahagian daripada struktur sokongan kepada Ahli Parlimen PAS untuk berfungsi dengan baik sebagai penggubal undang-undang (legislator) di samping tanggungjawab memberi khidmat kebajikan di lapangan.


Sehubungan itu, YB Dato’ Mahfuz Omar dalam ucapannya mengucapkan tahniah kepada DPPM atas inisiatif yang sangat baik ini.
Beliau menjelaskan yang usaha ini amat penting dalam memastikan ahli parlimen dapat berfungsi dengan cemerlang di Dewan Rakyat, khususnya dalam aspek perbahasan rang undang-undang dan isu-isu yang berbangkit demi kepentingan rakyat.
Harapan beliau adalah agar dengan penggemblengan tenaga PIKAP ini dan keterampilan Ahli-ahli Parlimen PAS, kemampuan dan kebolehan Ahli-ahli Parlimen PAS di Parlimen akan dapat dilihat dan dinilai oleh rakyat yang menaruh kepercayaan yang amat tinggi kepada PAS khasnya dan PR secara amnya.
Sesi tersebut turut dihadiri oleh Setiausaha DPPM, Saudara Khairul Faizi yang menekankan aspek komitmen dan kualiti kerja, di samping peluang dan potensi yang besar untuk dimanfaatkan daripada pasukan PIKAP ini, serta Ketua Pegawai Operasi Pusat Penyelidikan PAS Pusat (PPP), Dr Zuhdi Marzuki dan Setiausaha Lajnah Parlimen PAS, Saudara Wan Johari.



























