Oleh : Rohayati Ripin
SETIU – Pakatan Harapan (PH) dinasihatkan agar menjaga ‘rumah tangga’ sendiri daripada menjaga ‘tepi kain’, parti lain.
Naib Presiden PAS, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pakatan parti yang memerintah perlu menyelesaikan kacau bilau yang mereka hadapi sebelum mencampuri urusan parti pembangkang.
“Saya pun hairan kenapa dia duk sibuk dengan hal lain, isu rumah tangga dia yang begitu kelam kabut (dan) haru biru pada saya jauh lebih sengsara pada telinga untuk kita (mendengarnya).
“Berbanding dengan keharmonian yang telah kita capai antara PAS dan Umno,” jelasnya.
Beliau yang juga Menteri Besar Terengganu berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Program Hari Peladang, Penternak dan Nelayan negeri Terengganu 2019 di Dataran PGU Jabi, semalam.
Oleh itu, kedua –dua parti tersebut katanya, sedang merangka gerak kerja dan pembentukan kerajaan di negeri-negeri yang dikuasai oleh PAS dan Umno.
“Itu adalah soal yang (kita fokus), orang kata kita baru buka pintu, baru nak masuk rumah. Jadi tentulah kita akan tengok semua perkara dan semua aspek.
“saya rasa gesaan mereka itu (adalah bagi) menutup kacau bilau yang berlaku dalam rumah tangga mereka yang pada saya jauh lebih teruk berbanding (tahun lepas yang) sekarang ini jauh lebih berbeza,” tegasnya.
Menurutnya, rakyat dapat melihat suasana politik sekarang dimana keputusan yang dibuat oleh menteri mereka tidak dihormati dalam kalangan mereka sendiri.












