Terengganu, Malaysia

Petempatan Israel rosakkan usaha pembentukan negara Palestin

Kenyataan berhubung kawasan petempatan Yahudi oleh Timbalan Perdana Menteri Britain, Encik Nick Clegg, dan mengenai proses perdamaian oleh Perdana Menterinya, Encik David Cameron, itu kelihatan memperkukuh pendirian Presiden Palestin, Encik Mahmoud Abbas, sedang para perunding berusaha memulakan semula rundingan damai yang terhenti itu.

 

 

Ulasan Encik Clegg merupakan antara yang paling tegas pernah disebutkan mengenai konflik di Timur Tengah itu.

[Gambar – Satu kawasan petempatan Israel sedang dibangunkan di Tebing Barat]

‘Sebaik sahaja anda menempatkan fakta-fakta fizikal pada tanah itu yang menjadikannya mustahil melaksanakan apa yang dipersetujui semua orang sebagai destinasi akhir sejak bertahun-tahun, maka anda telah berbuat kerosakan amat besar,’ tegas Encik Clegg semasa Encik Abbas melawat ke London, sambil merujuk kepada usaha mewujudkan sebuah negara Palestin bersebelahan Israel.

‘Ia satu tindakan laku musnah ke atas premis asas, yang di atasnya telah dijalankan rundingan bertahun-tahun dan itu sebabnya kami meluahkan kebimbangan kami sebagai sebuah pemerintah dengan nada semakin tegas,’ kata beliau kepada wartawan.

Encik Clegg memulakan ulasan beliau dengan mengatakan bahawa tidak ada penyokong Israel yang lebih kukuh selain dirinya sendiri.

Encik Abbas sedang melawat Eropah sedang para perunding daripada kedua-dua pihak mengadakan perbincangan awal untuk memulakan semula rundingan damai Israel-Palestin itu.

Perbincangan awal itu bermula pada 3 Januari lalu, selepas rundingan damai itu terhenti setelah Encik Abbas menggantungkan rundingan tersebut sejak 15 bulan lalu berhubung langkah Israel mengembangkan kawasan petempatan kaum Yahhudi itu di Tebing Barat yang didudukinya.

Encik Cameron pula kelmarin menemui Encik Abbas di London, sambil mengulangi sokongan beliau bahawa Britain menyokong satu ‘huraian dua negara’ dalam pertikaian antara Palestin dengan Israel.

‘Kami percaya rundingan damai yang telah bermula di Jordan boleh membuka peluang, satu peluang yang kami harapkan kedua-dua pihak akan lalui. Kami fikir ini amat penting,’ kata beliau, ketika bertemu Encik Abbas di 10 Downing Street di bahagian pusat London. — Agensi.

 

 

KongsiWhatsAppTelegramThreadsX

Berita berkaitan