Pesuruhjaya PAS Terengganu Kembali Dilantik Sebagai Senator

71

KUALA TERENGGANU – Pesuruhjaya PAS Dato’ Ustaz Husain Awang kembali dilantik sebagai Ahli Dewan Negara bagi mewakili kerajaan Terengganu, memperbaharui perkhidmatannya yang tamat tempoh pada 16 Julai lalu.

Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mencadangkan pelantikan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat itu apabila Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN), Dato’ Yahaya Ali mengumumkan usul pemilihan jawatan berkenaan selepas terdapat kekosongan.

“Semoga dengan penyertaan beliau sebagai mewakili negeri ini dalam Dewan Negara akan dapat memberikan suatu sumbangan kepada agama, negara dan negeri,” ujar beliau pada Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri ke-14, di sini, Rabu 15 September.

Menurut Sansuri, Ustaz Husain Awang berpengalaman luas dalam bidang politik Islam itu pernah dilantik sebelum ini dengan jawatan yang sama pada 2018 hingga Julai 2021.

“Merupakan anak jati Daerah Besut yang juga merupakan seorang Ahli Majlis Syura Ulama PAS.

“Berkelulusan Ijazah Pertama dari Universiti Islam Madinah, dan pernah menjadi pensyarah di Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin (KUSZA) dan Kolej Islam Klang, Selangor.” tambahnya.