Perutusan Khas MB Sempena Tiga Tahun Kerajaan Terengganu

310

UCAPAN SEMPENA 3 TAHUN KERAJAAN TERENGGANU
10 MEI 2021
Assalamualaikum wbt

Muqaddimah

Tiga tahun yang lalu, pada tarikh yang sama, saya bersama-sama dengan 10 orang Ahli Dewan Undangan Negeri, masing-masing telah mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar dan Exco Kerajaan Negeri Terengganu. Bermula pada saat itu, kami memikul amanah kepemimpinan bagi merencana, dan mentadbir-urus kerajaan Negeri Terengganu, bersama-sama dengan jentera pentadbiran kerajaan yang lain. Prinsip kami sangat jelas pada saat itu : mana-mana yang baik diamalkan sebelum ini, kami akan teruskan dengan penambahbaikan,mana yang rosak ditinggalkan. Mana-mana yang tiada dan perlu, kami
jayakan.

Cabaran tentu besar, umpama “beban tidak lepas dari bahu” mewarisi kerajaan yang lalu, seperti pepatah Melayu : “ Bagai denai gajah lalu”, “dikira dagang berlaba, kiranya pokok termakan”. Rumah yang dilihat cantik dari luar, usang di dalamnya, bocor di atapnya. Semuanya ini, perlu ditangani satu persatu dengan cermat, dan ada juga yang melibatkan implikasi undang-undang, yang bukan kepalang besar nilainya kepada kerajaan.

Rakyat Terengganu seramai lebih 1.2 juta orang yang mendiami rumah ini, ada yang perlu disantuni dengan kadar segera, dan tentunya ada yang dikemudiankan. Semua ini perlu mengikut prioriti atau keutamaan, atau mengikut kaedah Fiqh Aulawiyyat nya.

Prioriti ini perlu dibuat, kerana sumber hasil Negeri adalah terhad, tahun 2020 bermula pula musibah pandemik Covid19, yang memerlukan perbelanjaan berfokus pada kelompok yang terkesan, dan juga bermulanya deferred and schedule payment yang menjangkaui 30% dari bajet negeri, terhadap hutang projek-projek besar sebelum ini. Umpama anak di rumah sendiri : ada yang masih pra-sekolah, ada di sekolah rendah dan menengah, ada belajar di universiti, dan ada yang sudah memasuki alam berkeluarga. Maka tentunya, nilai keperluan anakanak ini tidak sama, ada yang perlu segera, terdesak, ada yang boleh dikemudiankan, dan ada yang mereka usahakan sendiri .

Maka keutamaan kita ialah, membantu rakyat mengikut keperluan, di mana yang terdesak didahulukan, yang dizalimi sekelian lama di bantu terlebih dahulu, dalam memenuhi keperluan kehidupan mereka.

Suatu ketika, Khalifah Umar Abdul Aziz, menerima surat daripada Fartunah as-Sauda’, iaitu seorang hamba. Fartunah as-Sauda’ telah
menulis surat, mengenai tembok tempat kediamannya yang rendah,
sehingga dengan mudah beliau diserang oleh orang jahat. Khalifah Umar
bin Abdul Aziz segera membalas surat Fartunah as-Sauda’, dan
mengurarahkan pegawainya di Mesir, iaitu Ayyub bin Syurahbil, supaya
meninggikan tembok rumah Fartunah as-Sauda’. Inilah adalah antara
contoh, bentuk bantuan bersasar kepada yang memerlukan, bukan
kepada setiap orang rakyat Mesir pada waktu itu.

Inilah juga apa yang ditekankan dalam memahami “kemaslahatan”, di
mana ulama Islam membahagikannya kepada peringkat (1) alDhoruriyyat (iaitu jika sekiranya keperluan ini tidak ada, nescaya hidup manusia di dunia ini akan menghadapi kesukaran, baik di dunia mahupun akhirat.), (2) al-Hajiyyat (iaitu kepentingan yang diperlukan oleh manusia,bagi memberi kemudahan kepada mereka, dan menghilangkan
kesempitan yang membawa kepada kesulitan dengan ketiadaannya. Manakala ketiadaannya pula, tidaklah sehingga membawa kepincangan dalam hidup manusia) dan (3) al-Tahsiniyyat (iaitu perkara yang menjadi
pelengkap dan hiasan tambahan untuk kesempurnaan manusia).

Keperluan menyelesaikan maslahat hidup rakyat, tentunya bertambah
penting, dengan cabaran menghadapi pandemik Covid19, yang tidak
pernah dihadapi dalam skala sebegini di seluruh dunia. Kesannya adalah
menyeluruh, kepada kehidupan, kesihatan, ekonomi, hubungan
kemanusiaan, kesejahteraan hidup dan sebagainya. Semua orang
terkesan dengan musibah ini, dan tentunya tidak sama di kalangan 1.2
juta penduduk Terengganu. Ada yang perlu disegerakan, dan ada yang
dikemudiankan, semuanya mengikut keutamaan masing-masing.
Berat hati untuk saya berterus terang, kerana bukan kegembiraan saya
untuk menyalahkan mana-mana pihak. Sebagai contohnya : pemberian
dana yang sebelum ini tidak begitu adil dilaksanakan, kerana
meninggalkan kelompok tertentu, adalah wajar ditambah baik dengan
pemberian yang lebih adil dan menyeluruh. Baru ini saya pernah bertanya
seseorang, yang pada perkiraan saya wajar menerima bantuan : “Kak Ani,
pernah terima Dana Raya ?. Tergamam saya dengan jawapannya : “tak
pernah hayat. Saya dari parti lain, mana diberi”. Sudah tentu
penambahbaikan mesti dibuat terhadap kelemahan ini.

Dana yang pengagihannya lebih adil dan lebih baik dari Dana Raya
sebagai contohnya, sudah tentu akan diberi dengan tujuan untuk
menggerakkan ekonomi rakyat, apabila sampai waktu dan ketikanya
nanti.

Tanpa menghiraukan segala reput dan usang ini, kami tidak menoleh
kebelakang, kami tidak mengungkit-ungkit, jauh sekali membesarkan aib
sesiapa; kami bergerak ke hadapan atas semangat baharu muafakat, dan
keharmonian agenda besar di Negeri Terengganu, yang begitu lama
dinantikan. Sebelum ini sesama kita terkenal dengan politik yang tegang
dan pertembungan tajam.

Alhamdulillah, setelah kita memperkenalkan Budaya Politik Matang dan
Sejahtera, ketegangan yang ada nampaknya semakin mengendur,
pertembungan yang tajam semakin tumpul. Komitmen kami, akan terus
berusaha agar kita sama-sama mampu duduk berlaga lutut berbicara,
biarlah “buruk dibuang dengan rundingan, baik ditarik dengan muafakat”.
Sebagai sebuah kerajaan yang menjadikan Islam sebagai dasarnya,
sebagaimana yang termaktub dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan
Negeri, dan juga menjadi prinsip pertama dalam Pelan Induk Terengganu
Sejahtera (PITAS2030), agenda pemerkasaan Islam menjadi fokus
kerajaan.

Maka menjadi tanggungjawab kerajaan pada hari ini, untuk meneruskan
kesinambungan pemerkasaan syariat Islam, di negeri Terengganu.
Pastinya proses ini perlu dilakukan dengan cermat, dan secara tadarruj
(iaitu berperingkat), serta tidak tergopoh-gapah. Beberapa inisiatif telah
kita ambil antaranya ialah :
Pertama. Membangunkan Garis Panduan Patuh Syariah Hiburan,
Kebudayaan, Pelancongan dan Sukan. Ianya termasuklah beberapa
dasar dan polisi lain, seperti dasar perumahan RAHMAN, Dasar Integriti
Darul Iman, dan Modul Itqan Insani.
Kedua. Kerajaan Negeri juga telah menubuhkan beberapa agensi
bertindak dalam agenda ini seperti Skuad Amar Makruf Nahi Mungkar,
DUAT dan juga I-MITS.

Ketiga. Dalam soal pendidikan Islam, kita telah berjaya mewujudkan
sistem pendidikan Islam yang komprehensif, bermula dari Tadika,
Pendidikan Rendah dan Menengah, hinggalah kepada peringkat
pengajian tinggi. Bahkan pada tahun ini kita menaik taraf Bahagian
Pendidikan Islam, kepada Jabatan Pendidikan Islam Negeri Terengganu,
sebagai penyelia kepada sistem pendidikan Islam di Terengganu.
Keempat. Dalam soal urus niaga kerajaan, elemen patuh syariah amat
dititik beratkan, antaranya ialah, kita adalah mendapatkan kembali status
patuh syariah untuk TDM Berhad, setelah beberapa tahun status tersebut
ditarik.

Agenda pemerkasaan syariat Islam ini, pastinya mengambil masa dan
proses yang panjang. Oleh kerana itu, kerjasama dan kefahaman
daripada semua pihak, amatlah diharapkan bagi merealisasi impian ini.
Manifesto
Mengambil kesempatan pada hari ini juga, suka untuk saya nyatakan
perkembangan 20 manifesto, yang telah kita janjikan kepada rakyat.
Alhamdulillah, dalam masa 3 tahun, sebanyak 70% manifesto telah
dilaksanakan iaitu 14 daripada 20 manifesto.

Malah, melalui Jawatankuasa Induk Manifesto Negeri Terengganu,
meletakkan sehingga akhir tahun 2021 ini, tambahan 4 lagi agenda
manifesto akan dilaksanakan, menjadikan jumlahnya 18 daripada 20
manifesto atau 90%.

Walaupun dalam keadaan suasana ekonomi yang mencabar, dan wabak
pandemic Covid19 yang ada, Kerajaan Negeri tetap berusaha untuk
menunaikan janji yang telah kita berikan kepada rakyat.
Masa Akan Datang

Langkahan yang telah kita bina selama 3 tahun ini, akan terus kita pacu
secara bersama, untuk masa hadapan Terengganu Maju Berkat dan
Sejahtera. Namun, harus kita sedari, bahawa kita berada pada zaman
yang sukar, dan berbeza dari zaman sebelum ini.

Oleh kerana itu, corak pentadbiran kerajaan negeri juga, perlu mengikut
realiti zaman yang ada, terutamanya ketika berhadapan dengan rakyat
yang semakin kompleks. Penglibatan rakyat, NGO, kumpulan sasar
tertentu akan menjadi antara penanda aras, dalam mendapatkan apa jua
maklum balas untuk pertimbangan kerajaan.
Kerajaan Negeri Terengganu, mesti bergerak seiring dengan keadaan
semasa, dan perkembangan perubahan yang berlaku. InsyaAllah,
dengan kerjasama semua pihak, bermula dari pihak atas hingga rakyat,
kita mampu memberikan masa depan yang baik, untuk negeri
Terengganu.

Penutup

Sebelum melabuhkan ucapan pada malam ini, saya ingin rakamkan
sekalung penghargaan, dan ucapan terima kasih kepada semua saf
kepimpinan, para pegawai, kakitangan kerajaan, agensi-agensi, JPKK
dan rakyat, yang melancarkan perjalanan pentadbiran selama tiga tahun
ini.

Semoga tahun-tahun yang mendatang, diberikan lebih limpahan kurnia
oleh Allah SWT. Saya juga menyeru kepada semua, untuk kita
memanfaatkan baki Ramadan yang ada, dengan berdoa kepada Allah
SWT, agar wabak COVID-19 ini segera berlalu pergi.
Akhirnya, dengan lafaz, BISMILLAHHIRRAHMAANIRRAHIM saya
merasmikan Majlis Sambutan 3 Tahun Pentadbiran Kerajaan Negeri
Terengganu. Sekian, terima kasih.