KUALA TERENGGANU – Pertukaran pemimpin adalah perkara biasa dalam Islam dan PAS, terutama bagi jawatan Pesuruhjaya yang menjadi teraju utama pergerakan siasah, dakwah dan tarbiah negeri Terengganu.
Pesuruhjaya PAS Terengganu yang baharu, Dato’ Ustaz Haji Husain Awang berkata, pernah pada suatu masa jawatan tersebut digilirkan antara Presiden Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, mantan Ketua Dewan Ulama, Almarhum Dato’ Ustaz Harun Taib dan Dato’ Mustafa Ali
Oleh itu katanya, beliau bukanlah ‘yang terbaik’ kalangan ahli dan pemimpin PAS, namun telah diamanahkan oleh jamaah untuk menjawat jawatan tersebut pada sesi sini.
“saya telah diangkat menjadi pemimpin bukanlah kerana aku yang terbaik diantara kalian semuanya, untuk itu jika aku berbuat baik bantulah aku,
“dan jika aku berbuat salah luruskanlah aku…..sifat jujur itu adalah amanah, sedangkan kebohongan itu adalah pengkhianatan,” kata beliau menyebut ulang kata-kata pidato Syaidina Abu Bakar As-Siddik, sehingga habis.


Justeru itu, beliau berharap kepada semua tenaga kerja di pejabat, agar kecemerlangan tugasan yang dilaksanakan sebelum ini diteruskan pada masa beliau sebagai Pesuruhjaya dan masa hadapan, bila-bila jua.
Bahkan, beliau menggesa agar dilipat gandakan setiap kerja yang dilakukan, memandangkan saat pilihan raya umum kali ke-14 sudah terlalu hampir.
“minta kerjasama sebagaimana khidmat yang telah diberikan……..bahkan saya minta lebih daripada itu lagi,
“kerana kita sedang berhadapan dengan (tempoh hampir) pilihan raya (PRU14), yang merupakan satu detik kemuncak perjuangan (siasah) kita,” tegasnya.



























