Persiapkan Jentera Hadapi Pengundi Muda 18 Tahun

142

MARANG – Jentera parti di semua peringkat perlulah bersiap sedia menghadapi cabaran pengundi muda berumur 18 tahun ke atas selain menguatkan gerak kerja parti sedia ada.

Ketua Dewan Muslimas Pas Kawasan Marang (DMPKM), To’ Puan Zarani Othman berkata, ini kerana mereka adalah golongan baharu yang layak mengundi dan seharusnya diberi kefahaman yang jelas tentang perjuangan Pas.

“Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) berkemungkinan akan menjelang pada bila-bila masa. Kita perlu bersedia dari sekarang mengajak rakyat kepada Pas lebih-lebih lagi kepada pengundi-pengundi muda yang baru pertama kali akan mengundi pada PRU kali ini.

“Pendidikan politik haruslah diterapkan kepada mereka dengan menjelaskan matlamat perjuangan Pas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Mesyuarat Agung Tahunan DMPKM Kali Ke-36 di Pejabat PAS Marang di sini baru-baru ini.

Majlis dirasmikan oleh Bendahari Badan Perhubungan Pas Negeri Terengganu, Mohd Nor Hamzah.

Zarani kekal sebagai ketua DMPKM dalam pemilihan tersebut, diikuti Sarifah Seman sebagai timbalan dan Faridah Omar sebagai naib ketua.

Menurutnya, ahli Pas perlu bersyukur dan mempertahankan kemenangan Pas di negeri Terengganu.

“Alhamdulillah kita sudah memerintah Terengganu selama tiga tahun. Kita wajib mempertahankan kemenangan ini untuk waktu yang seterusnya.

“Walaupun dalam ujian dan kekangan wabak Covid-19 ini, kita perlu sentiasa berusaha menjalankan tugas dan kerja dakwah seumpamanya dengan sebaik mungkin insya-Allah,” jelasnya.