Persedian Memulakan Sesi Baru Persekolahan Menitiskan Air Mata Ibu Bapa

988

Dalam keadaan cuaca yang tak menentu, harga getah di paras cukup-cukup makan, sememangnya beban persekolahan anak-anak terlalu memeritkan bagi masyarakat awam di kampung-kampung.

Walaupun Menteri Pendidikan mengumumkan bahawa yuran sekolah kekal dimansuhkan, ianya sekadar tak lebih dari satu gurauan yang menyakitkan. Yang dimansuhkan hanya berbelas ringgit. Yang masih perlu dibayar ratusan ringgit.

Purata seorang anak memerlukan antara RM250-RM300 meliputi kos uniform, buku-buku, pakaian ko-korikulum, yuran itu dan ini serta beberapa perkara berkaitan.

IMG_20151229_170911Bayangkan kalau seorang penoreh getah yang tidak mempunyai wang simpanan mempunyai 4 orang anak dibangku sekolah. Ianya sangat menyedihkan dan memilukan.

Kerajaan masih tak mempunyai formula yang benar-benar berkesan dan serius bagaimana nak menjadikan pendidikan sebagai suatu keperluan asasi rakyat yang mampu disempurnakan perlaksanaannya oleh ibu bapa dan penjaga tanpa meletakkan beban berat ke atas bahu mereka.

PAS Jabi cuba membantu sedaya yang ada. Semalam, Ahad 27 Disember 2015, seramai 140 anak-anak yatim dan miskin dari seluruh DUN Jabi diraikan dalam satu majlis Agihan Uniform dan Kelengkapan Sekolah bertempat di Pejabat Majlis Tindakan Dun Jabi.

Setiap mereka menerima sepersalinan baju, seluar, stokin serta kasut bagi pelajar lelaki sementara pelajar-pelajar perempuna menerima sepasang baju kurung beserta tudung, stokin dan kasut.

Program yang berlangsung secara santai dan sederhana menelan kos hampir 12 ribu ringgit sumbangan dari para dermawan termasuk dari Tabung Kemiskinan Harakah dan PAPISMA.

IMG_20151229_170947Bagi pihak Majlis Tindakan DUN Jabi saya merakamkan ucapan penghargaan serta terima kasih kepada semua penyumbang. Sedikit bagi kita, besar maknanya bagi mereka.

Semoga anak-anak yatim dan miskin juga merasa lebih ceria dan bersemangat untuk ke sekolah dan usaha kecil ini mampu meringankan secebis kecil dari beban yang ditanggung ibu-bapa serta penjaga.

Hari Jumaat 25 Disember lepas, PAS Jabi melalui Jawatankuasa Unit Peti Undi Jabi Luar buat julung kalinya mengadakan Program Gunting Rambut Percuma untuk anak-anak.

Kos gunting rambut sekarang telah mencecah sekitar RM7 bagi seorang kanak-kanak. Angka yang agak besar bagi orang-orang kampung.

Kita berbakti dan terus berkebajikan dengan cara kita sendiri.

Dr Azman Ibrahim
Pengerusi Lujnah Kebajikan dan Kemsyarakatan PAS Terengganu
Merangkap Pengarah MTD Jabi