Perlecehan Kepada Sekolah Tahfiz, Masa Untuk Merubah Cara Fikir Ummat Melayu

176

Oleh : Dr Riduan Mohamad Nor.

Riuh geger medsos dengan isu keberadaan anak-anak berwajah jernih di konsert 50 tahun KFC, dengan pelbagai hujatan dan melimpah rasa simpati untuk melindungi ‘ hamlatul Quran’. Konsert dengan ribuan anak muda ini turut dihadiri oleh PMX dan isteri, malah tak menjadi kepelikan lagi dizaman edan ini pelbagai konsert digalang untuk menunjukkan wajah liberal pragmatis kerajaan Madani. Konsert beracuankan hedonisme ini memaparkan pergaulan bebas, hiburan tak patuh syariah, aksi ‘ moshing’ dan tak mempamerkan apa-apa petunjuk intelektual melainkan dekadensi moral sebagai indikator sakitnya akhlak anak muda dibawah regim madani .

Apa sahaja alasan pihak pengusaha tahfiz yang membawa pelajar ke konsert berkenaan adalah ditolak atau mungkin mereka diperdayakan?. Hanya pihak pentadbiran tahfiz berkenaan sahaja yang mempunyai jawaban mengapa ratusan pelajar dengan guratan wajah jernih ini tersadung dalam majlis yang memperlecehkan karomah insaniah . Sebelum ini pernah berlaku juga majlis lagha yang dianjurkan oleh pihak korporat yang menyajikan persembahan maksiat dihadapan pelajar-pelajar tahfiz, namun kurang mendapat perhatian netizen. Namun isu kali ini menggelegak hangat kerana adanya kelibat PMX yang muncungnya sering menutur kalimah akhlak, karomah insaniah dan pelbagai kata-kata muluk yang lain.

Netizen perlu tahu mengapa sekolah tahfiz menjadi tarikan pesona kepada ibubapa untuk menghantar anak-anak belajar agama, khususnya al Quran. Menarik juga kerana sebahagian besar yang menghantar anak mereka ke sekolah tahfiz mahu pun sekolah agama rakyat ialah kelompok kelas menengah Melayu yang berpendidikan. Mereka tidak naif sebagaimana sangkaan segelintir netizen dan yang sebahagian politikus yang ingin menunggang kesucian kelompok ‘hamlatul Quran’. Lihat sebelum PRUN baru-baru ini, himpunan pelajar-pelajar tahfiz digalang oleh pemimpin pragmatis yang tersabit dalam tuduhan amalan sakau. Berdamping dengan anak-anak tahfiz yang kidungnya menggema ayat-ayat suci dirasakan mampu mengubah tanggapan kepada sisi gelap mereka oleh masyarakat terbanyak. Ironis sekali, himpunan huffaz ini hanya merancang sebelum pilihanraya dan sendu pula untuk beberapa tahun mendatang!.

Faktor tarikan lain ialah ,euforia Islami dengan pengamalan agama di maahad tahfiz akan mengacuankan pelajar-pelajar yang berakhlak mulia dan inilah yang dikehendaki oleh ibubapa dan penjaga. Kita seharusnya jujur melihat kegagalan pendidikan arus perdana negara ini. Kadar kelahiran anak luar nikah dalam tempoh 10 tahun terakhir ini melebihi 503 000 orang, kadar penagihan dadah yang mencanak, gejala buta al Quran dan seribu satu fenomena kebejatan akhlak yang merupakan produk pendidikan arus perdana hari ini.

Impak daripada kebejatan sosial dan fenomena buta al Quran itulah maka ibubapa melihat kearah pendidikan alternatif, iaitu sekolah tahfiz. Sekolah tahfiz menjadi tarikan masyarakat dalam dua dekad terakhir ini , terutama usaha gigih para asatizah muda yang mendapat pendidikan di Timur Tengah dan Sub Continent. Sejujurnya , dalam dekad 90an Kerajaan Kelantan sebagai contoh antara pemicu utama menggalakkan sekolah tahfiz integrasi sehingga melahirkan pendidikan gabungjalin antara sains dan al Quran. Idea Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat ini akhirnya meletus fenomena tahfiz sains di seluruh negara termasuk usaha ini diterjemahkan di Selangor dibawah kerajaan Pakatan Rakyat , semasa PAS menjadi sebahagian kerajaan negeri. Kejayaan Dr Halimah Ali , Exco Pendidikan Selangor saat itu memberikan impak besar kepada menggebunya institusi pendidikan tahfiz intergrasi di Selangor.

Masyarakat harus memahami betapa sukarnya untuk mengeoperasikan sekolah-sekolah tahfiz yang termasuk dalam kategori Sekolah agama rakyat. Kita semua jangan pernah lupa apa yang berlaku dizaman regim BN diawal milinea dahulu, dengan sekatan bantuan perkapita kepada sekolah agama rakyat. Para penggerak SAR termasuk maahad tahfiz berkeringat dan menebalkan muka untuk mencari dana untuk menggerakkan pendidikan Islam ini. Tidak kecil hujaman dan ujian bertindan tindih kepada sekolah tahfiz, bahkan yang menghujat sekolah tahfiz dan penggeraknya dengan naratif gelap agar dipandang serong oleh massa.

Jika ada kes kesalahan moral,maka sekolah tahfiz akan menjadi penghias muka depan akhbar. Dalam isu kebakaran di Maahad Ittifaqiah Keramat tiga tahun lepas, seolah menjadi peluru dan “punching bag” kepada seluruh sekolah dan institusi tahfiz negara ini. Diungkit tentang tak patuh SOP keselamatan kebakaran dan piawaian bangunan. Semua kita ingin berlindung daripada bencana, tiada yang ingin menjemputnya bertandang. Sebagainya contoh tempat paling gah dengan keselamatan negara ini, iaitu ibu pejabat Polis Bukit Aman pernah terbakar!,bahkan 19 buah hospital di negara kita pernah terbakar dan mengorbankan nyawa pesakit diantara tahun 1990 sehingga tahun 2016. Jangan lupa kebakaran di Hospital Sultanah Aminah Johor Bharu yang pernah mengorbankan enam jiwa. Tak kurang premis awam, juga kampus serta sekolah-sekolah kerajaan yang mengalami kebakaran. Adakah kita semua tergamak mengutarakan saranan supaya dihentikan operasi?

Insiden memalukan warga tahfiz di konsert 50 tahun KFC wajar direnung dengan keinsafan. Kepada pengusaha tahfiz swasta, kalian harus mempunyai harga diri dan tahu batasan syarak. Tinggalkanlah majlis dengan segera jika ada unsur-unsur maksiat dan kemungkaran, tak perlu bermanis muka dengan jahiliah dan kelompok juhala’ bernuansakan kehidupan seperti lembu kerbau dipadang ragut!

Sejujurnya , negara dibawah PMX ini semakin tenat dan cacamarba. Tiada hala tuju melainkan hanya untuk kekal merengkuh kuasa. Kita menantikan jawaban tuntas, mengapa anak-anak tahfiz diseret kedalam majlis konsert ini. Mana suara Menteri Agama, mana suara pak Mufti yang mengatakan parti Islam hanya ciptaan manusia? Semoga polemik tentang sekolah tahfiz dalam isu ini meruak aura positif kita tentang keperluan untuk memberdayakan pendidikan Islam. Dalam peruntukan bajet tahunan, pemerintah wajib memberikan peruntukan pembangunan prasarana, pengupayaan kepada sekolah tahfiz . Al Quran adalah mukjizat dan percayalah ianya ubat mujarab untuk menyembuhkan negara kita daripada kebobrokan dan kebejatan sosial. Semoga tiada lagi perlecehan kepada anak-anak tahfiz seperti yang berlaku sehari dua ini.

( Penulis ialah AJK PAS Pusat, Pengerusi LESTARI)