Perkukuh Persiapan Ulama Hadapi PRU16

19
Ustaz Dato' Haji Ahmad Yaakob

KUALA TERENGGANU– Dewan Ulama PAS perlu terus memperkukuh persiapan organisasi, memperkemaskan strategi dan meningkatkan kefahaman masyarakat terhadap Islam sebagai cara hidup bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Timbalan Mursyidul Am PAS, YB Dato’ Bentara Kanan Ustaz Dato’ Haji Ahmad Yaakob, berkata kemenangan besar yang dikecapi ketika ini tidak boleh dijadikan alasan untuk leka atau terlalu yakin, sebaliknya seluruh jentera perlu terus bekerja keras mempertahankan pemerintahan Islam.

Menurut beliau, Dewan Ulama memainkan peranan penting dalam memimpin masyarakat dengan ilmu, membimbing umat serta memastikan perjuangan Islam terus difahami dan diterima rakyat.

“turut menegaskan bahawa pendekatan ta’awun siyasi yang diputuskan kepimpinan PAS bertujuan memperkukuhkan kesatuan politik Melayu-Islam bersama pihak yang tidak bersifat ekstrem demi mempertahankan kepentingan agama dan negara.

“Persiapan menghadapi PRU16 mesti dibuat dari sekarang. Jangan leka dan jangan terlalu yakin kerana musuh sentiasa bergerak menyusun strategi,” jelasnya ketika merasmikan Muktamar Tahunan Dewan Ulama PAS Negeri Terengganu Kali Ke-61.

Ahmad turut mengingatkan kepimpinan dan ahli supaya menjaga disiplin organisasi serta memelihara kerahsiaan setiap strategi perjuangan dengan mencontohi sirah Rasulullah SAW dan para sahabat.

“Pengalaman PAS mentadbir Kelantan membuktikan pentadbiran berteraskan Islam mampu dilaksanakan dengan baik, sekali gus menolak tanggapan bahawa golongan ulama tidak berupaya mentadbir kerajaan,” ujarnya.

Pada masa sama, beliau menyeru seluruh ahli memperkukuhkan pengorbanan, kesatuan dan gerak kerja dakwah agar Terengganu terus kekal di bawah pentadbiran PAS serta menjadi contoh pemerintahan Islam yang membawa kebajikan kepada rakyat.