Perkukuh Kemakmuran dan Keberkatan Terengganu

260

KUALA TERENGGANU – Rakyat negeri ini diseru agar terus berganding bahu memelihara kemakmuran dan kesejahteraan Terengganu supaya kekal aman, bahagia serta diberkati Allah SWT.

Ketua Penerangan PAS Terengganu, Ustaz Mohd Harun Esa berkata, usaha tersebut perlu digerakkan secara menyeluruh di bawah kepimpinan YAB Menteri Besar bersama barisan Exco yang komited memastikan pembangunan negeri dilaksanakan secara seimbang dan berteraskan nilai Islam.

Menurut beliau, pembangunan tidak seharusnya diukur semata-mata melalui projek fizikal atau pencapaian material, sebaliknya perlu disertai pengukuhan rohani dan penghayatan agama agar negeri ini menjadi bumi yang diberkati.

“Bukan dalam erti kata pembangunan mencakar langit semata-mata, tetapi ia mesti seimbang supaya Terengganu terus menjadi negeri yang diberkati Allah SWT,” katanya.

Beliau yang juga Pengarah Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) berkata demikian ketika berucap dalam program Madinah Ramadan di Masjid Taman Tamadun Islam, semalam.

Ustaz Harun turut merakamkan penghargaan kepada para panel dan pendakwah yang menjayakan program berkenaan serta mendoakan agar mereka terus diberi kekuatan untuk menyebarkan ilmu dan dakwah di negeri ini.

Sempena Ramadan, Harun mengingatkan masyarakat agar sentiasa menjaga adab dan batas syariah, di samping menyokong usaha penguatkuasaan oleh pihak berkuasa agama bagi memastikan kesucian bulan mulia itu terus terpelihara.

“Kita harap dapat berganding bahu menjaga negeri ini bersama-sama. Dalam bulan Ramadan yang mulia ini, jangan dicemari dengan perkara-perkara yang tidak baik,” ujarnya.

Tambah beliau, walaupun dalam suasana Ramadan, pihak penguat kuasa termasuk pejabat agama serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan tetap menjalankan rondaan bagi memastikan tiada pelanggaran syariat dan peraturan berlaku.

Dalam masa yang sama, orang ramai digalakkan memanfaatkan Ramadan dengan memperbanyakkan zikir, doa dan munajat, serta menjaga adab ketika menghadiri program keagamaan dan majlis berbuka puasa.

Justeru itu, beliau menyeru seluruh rakyat agar bersama-sama memelihara kemakmuran dan keberkatan Terengganu demi kesejahteraan berpanjangan.