Perkukuh Kefahaman Dan Tadbir Urus Islam Hadapi PRU Akan Datang

82

KUALA TERENGGANU – Pemuda PAS Terengganu menegaskan komitmen untuk terus menyahut amanat kepimpinan tertinggi parti bagi memperkukuh kefahaman, akhlak dan tadbir urus Islam menjelang pilihan raya umum akan datang.

Ketuanya, Ustaz Hamdi Harun berkata, amanat yang disampaikan oleh Naib Presiden PAS, YB Dato’ Sri Amar D’Raja Nik Amar, dalam Munaqasyah Ucapan Dasar Presiden baru-baru ini merupakan peringatan tepat kepada seluruh jentera parti, khususnya generasi muda, bahawa kemenangan bukan lesen untuk lalai.

“Pemuda mengambil serius pesanan dan peringatan yang sangat tepat kepada seluruh jentera, khususnya generasi muda, bahawa kemenangan bukan lesen untuk kita lalai.

“Amanat beliau supaya kita terus memperkukuh kefahaman perjuangan Islam dan mengurus kemenangan dengan akhlak serta adab jamaah adalah tunjang kepada kesinambungan pemerintahan Islam di negeri-negeri SG4 dan cita-cita menuju Putrajaya,” jelasnya ketika dihubungi hari ini.

Menurut beliau, Pemuda PAS melihat keperluan mendesak untuk memperkukuh kefahaman dan idealisme anak muda terhadap dasar, sejarah serta perjuangan parti, khususnya dalam kalangan generasi yang lahir dalam suasana kemenangan.

“Tugas kita ialah menanam kembali roh perjuangan dan disiplin Islam supaya kemenangan ini diteruskan atas landasan kefahaman, bukan sekadar semangat,” jelasnya.

Ustaz Hamdi turut menekankan bahawa empat negeri di bawah pentadbiran PAS mesti menjadi model terbaik pemerintahan Islam di Malaysia, bukan sahaja dari aspek dasar dan tatakelola, tetapi juga dalam layanan kepada rakyat termasuk bukan Islam.

Katanya, Pemuda PAS akan memperkukuh gerak kerja dakwah, kebajikan dan komunikasi strategik supaya imej Islam dapat dilihat sebagai rahmat untuk semua lapisan masyarakat.

Dalam masa sama, beliau turut menginsafi keperluan untuk menangani isu keperluan rakyat “bread and butter” agar PAS bukan sahaja dikenali sebagai kerajaan bersih, tetapi juga kerajaan berdaya urus dan prihatin terhadap kesejahteraan rakyat.

“Pemuda akan terus mendorong inovasi sosial, keusahawanan muda dan solusi ekonomi rakyat melalui pendekatan Islamik agar aspirasi rakyat khususnya golongan muda terus dijaga,” katanya.

Justeru itu , beliau turut menyeru agar strategi komunikasi dan “marketing dakwah Islam” diperkasa, terutama melalui media sosial dan platform digital supaya mesej Islam dapat disampaikan secara berkesan serta berhikmah.

“Kami turut menyambut baik seruan agar PAS memperkukuh strategi komunikasi dan promosi nilai Islam secara hikmah.

“Produk kita benar dan suci, maka ia mesti dibawa oleh “salesman” yang berakhlak, berilmu dan berstrategi.

“Pemuda akan memperkemas naratif dakwah digital, media sosial dan wacana umum agar mesej Islam diterima dengan lebih luas dan positif oleh masyarakat,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa amanat Naib Presiden PAS itu akan dijadikan pelan tindakan praktikal bagi menghadapi tempoh genting menjelang pilihan raya, dengan Pemuda PAS bersedia menjadi saf terdepan dalam menjayakan seruan tersebut.

“Perjuangan Islam mesti ditunjangi ilmu, akhlak dan kesungguhan amal jama‘i.

Pemuda bersedia menjadi saf terdepan dalam menjayakan seruan ini demi memastikan Islam terus memimpin di bumi Malaysia,” tegasnya.