Media Sosial Punca Pelajar Hilang Hormat

767
Siti Nur Radhiah Alias

KUALA TERENGGANU – Pengaruh media sosial kini menjadi cabaran besar dalam membentuk jati diri pelajar apabila nilai hormat terhadap guru dan orang tua semakin terhakis.

Ketua Ameerah Kemaman, Siti Nur Radhiah Alias berkata, pengaruh gajet dan media sosial memberi kesan langsung kepada sikap dan peribadi pelajar sama ada di sekolah mahupun di institusi pengajian.

“Media sosial memberi impak besar terhadap pembentukan nilai diri. Ia menjadi satu cabaran besar kepada pendidik dan tenaga pengajar untuk mendidik generasi yang semakin terdedah kepada dunia maya tanpa kawalan,” jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam Podcast EH Studio Anjuran Ameerah Terengganu, pada 30 Oktober lalu.

Radhiah mencadangkan agar diadakan Kempen 3S iaitu salam, senyum dan apa sebagai langkah kecil namun bermakna dalam memupuk semula nilai hormat antara pelajar dan guru.

“Walaupun nampak remeh, program seperti ini memberi impak besar. Senyuman menzahirkan nilai positif, salam menumbuhkan rasa hormat, manakala sapa mengeratkan hubungan antara pelajar dan guru,” ujarnya.

Tambahnya, ibu bapa dan pelajar juga disaran mengawal penggunaan gajet serta media sosial kerana pendedahan tanpa batas boleh mempengaruhi pemikiran dan tingkah laku.

“Kita tidak tahu apa yang mereka tonton dan lihat setiap hari. Ia sedikit sebanyak membentuk sikap hingga ada yang hilang adab terhadap orang lebih tua,” katanya.

Siti Nur Radhiah turut menegaskan, pendidikan adab dan nilai hormat perlu digerakkan semula melalui pendekatan sederhana tetapi berterusan agar generasi muda tidak hanyut dalam arus teknologi tanpa panduan.