PERKASA sengaja, biarkan ahli cetus provokasi

576

Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) kesal dengan sikap ahli-ahli kumpulan PERKASA yang bertindak menyerang dan menumbuk penyokong PAS dalam ceramah umum yang dihadiri oleh Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu di Ampangan, Seremban, beberapa hari lalu. Bagi DPPM, tindakan ahli atau penyokong PERKASA tidak wajar kerana ia boleh mencetuskan suasana tidak tenteram dan mengganggu ketenteraman awam.

Ceramah tersebut dianjurkan oleh PAS dan telah diberi permit. Penceramahnya pula adalah Tuan Haji Mohamad Sabu, Timbalan Presiden PAS. Semuanya dilangsungkan dalam keadaan terkawal dan secara sah. Dalam suasana demokrasi di negara ini, setiap parti berhak mengadakan aktivitinya dan ahli-ahli PERKASA tidak seharusnya menganggu majlis yang sedang berlangsung.

[Gambar –Ahli PAS Abdul Hadi Abdul Aziz, hidungnya berdarah selepas ditumbuk oleh penyerang dan dibelasah oleh ahli kumpulan pendesak Melayu, PERKASA dalam kejadian di Ampangan Seremban]

PAS telah menyatakan sokongan terhadap kenyataan Mohamad Sabu berhubung fakta sejarah negara. Bahkan, ahli sejarawan juga menyatakan bahawa Mohamad Sabu telah mencetuskan suatu fenomena baru dalam pengkajian sejarah negara. Meskipun ada yang melihatnya dari sudut negatif, tidak kurang juga yang memandang kenyataan Mohamad Sabu dari sudut positif. Mengapa perlu ahli-ahli PERKASA melenting?

DPPM melihat PERKASA sengaja membiarkan ahli dan penyokongnya bertindak liar bagi menghangatkan suasana supaya penyokong PAS pula bertindak balas. PAS telah lama bergelumang dalam politik, dan tahu asam garam serta sepak terajang politik tanahair. Ahli-ahli PERKASA tidak perlu mencetuskan provokasi yang akhirnya nanti menjerat ahli-ahli dan PAS sendiri. PAS telah lama mentarbiyah ahlinya supaya bersabar dan bertenang dalam situasi seperti ini sebagaimana PAS juga mentarbiyah ahlinya agar berjihad dan tidak gentar kepada sesiapa juga.

Akhirnya, DPPM menegaskan bahawa hujah perlu dilawan hujah, bukan dengan tindakan ganas. Menganggu program PAS serta memukul penyokong PAS adalah tindakan penakut bagi mereka yang tidak mahu mencari kebenaran. DPPM sama sekali tidak izinkan sebarang keganasan timbul di negara ini dan PAS akan tetap istiqomah memilih jalan demokrasi bagi mendapatkan kuasa membentuk kerajaan. DPPM yakin rakyat telah mula membuka mata dan mencari kebenaran disebalik sejarah negara yang diselewengkan faktanya.

RIDUAN MOHD NOR
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Malaysia