Oleh : MNA
MARANG – Timbalan Presiden PAS Dato’ Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man memberi amaran dan peringatan, perjuangan menegakkan Islam akan runtuh sekiranya para pejuang dan pengikut gagal untuk beristiqamah.
Beliau mengingatkan ahli dan pengyokong PAS agar terus bergerak dan berjuang selama mana mana dasar parti itu tidak bercanggah dengan Islam.
“Selagi mana dasar itu kita pegang teguh, insyaAllah Allah tolong kita. Pakat-pakat doa, pegang penjuru masing-masing, lagi kuat, lagi susah, lagi besar pahala dia,”ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam satu majlis ramah mesra santai bersama penduduk kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Payong, di Kampung Mak Kemas dekat sini pada Khamis 3 Disember.
Menurutnya, kegagalan umat di Indonesia yang begitu ramai untuk beristiqamah dalam gerakan Islam telah menyebabkan 40 buah pertubuhan, tidak berjaya menghalang musuh-musuh Islam.
Beliau turut mengingatkan ahli-ahli PAS agar mencari sumber yang benar dan sahih serta tidak mudah mempercayai semua berita yang dilontar melalui media sosial.
Beliau bimbang dengan perkembangan semasa yang mana, kebanyakkan pihak, suka mempercayai cerita-cerita tanpa menyelidiki kebenarannya yang dipaparkan dalam media baru itu.
Akhirnya, kata beliau, umat akan terpedaya dengan fitnah yang dijaja oleh musuh PAS dan musuh Islam.
Oleh itu, katanya, mendapat berita dari sumber yang sah PAS seperti lidah rasmi parti Harakah dan mana-mana laman rasmi parti adalah amat penting.










