Peranan Media Musuh Islam

135

Firman Allah SWT:

﴿وَأَنَّ هَذَا صِرَاطِي مُسْتَقِيمًا فَاتَّبِعُوهُ وَلَا تَتَّبِعُوا السُّبُلَ فَتَفَرَّقَ بِكُمْ عَنْ سَبِيلِهِ ذَلِكُمْ وَصَّاكُمْ بِهِ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ١٥٣﴾

“Dan bahawa sesungguhnya inilah jalan-Ku yang lurus (agama Islam), maka hendaklah kalian menurutinya; dan janganlah kalian mengikuti jalan-jalan (selain daripada Islam), kerana jalan-jalan (yang lain itu) mencerai-beraikan kalian daripada jalan-Nya. Hal yang demikian itulah Allah memerintahkan kalian, supaya kalian bertaqwa.” (Surah al-An‘am: 153)

Allah SWT memberikan peringatan kepada orang-orang yang beriman supaya sentiasa beristiqamah atas jalan Islam, dan jangan sekali-kali terpesong daripadanya. Setiap penganut Islam diminta berdoa dalam setiap rakaat solat supaya tidak terpesong daripada petunjuk Islam.

Petunjuk yang nyata terkandung dalam Kitab al-Quran yang dipelihara oleh Allah SWT dan berpandukan kebijaksanaan Rasulullah SAW yang menjadi teladan kepada seluruh umat untuk berpegang teguh dengan kedua-duanya.

Pada suatu hari, Rasulullah SAW menyebutkan ayat ini kepada para sahabatnya, sambil menggariskan di atas tanah satu garisan yang betul dan dilakarkan garis-garis yang bercabang.

Baginda SAW memberikan peringatan supaya sentiasa berada atas garisan yang lurus dan betul sehingga penghujungnya. Jangan terpesong ke arah simpang-siur cabang-cabang yang banyak dalam perjalanan hidup sehingga bertemu Allah SWT.

Selain itu, berpesan agar berwaspada pada setiap kepala cabang mempunyai syaitan yang menggoda dengan pujukan yang menarik hawa nafsu mereka.

Pada zaman kini, media musuh Islam menjadi senjata yang paling penting kepada syaitan-syaitan yang berkeliaran untuk menggoda manusia dengan kata-kata yang indah dan menarik. Tujuan mereka supaya masyarakat terpesong daripada Islam dengan dilakukan pelbagai uslub dan pendekatan yang halus lagi beracun.

Antaranya disuntik racun ke dalam pemikiran mereka yang tidak mempunyai kematangan berfikir bersama petunjuk Allah SWT dan tidak mempunyai ketahanan jati diri beriman dan berakhlak. Termasuklah dalam kalangan mereka yang merasakan dirinya sangat bijak, tetapi bersifat takabur seperti Iblis.

Oleh itu, golongan tersebut tidak layak mendapat hidayah Allah SWT walaupun sebenarnya bijak. Apatah lagi dalam kalangan mereka itu sebenarnya jahil murakkab (tidak sedar dirinya jahil).

Terdapat pihak yang sedia berbelanja besar dan menjadi dalang kepada media musuh Islam yang semakin canggih meredah langit terbuka tanpa sempadan. Mereka itu sama ada terdiri daripada kalangan parti politik, badan bukan kerajaan (NGO), sehinggalah pihak kedutaan asing yang bersedia memberikan bayaran yang paling mahal.

Malah, terdapat ramai dalam kalangan yang bersedia menjadi alat atau tentera upahan semata-mata untuk mencari makan tanpa mempunyai wawasan yang sebenar. Akhirnya, ia menjadi perniagaan yang menghasilkan harta haram yang dimasukkan ke dalam jasad diri dan keluarga masing-masing. Hal ini dinyatakan sebagaimana firman Allah SWT:

﴿الَّذِينَ يَسْتَحِبُّونَ الْحَيَاةَ الدُّنْيَا عَلَى الْآخِرَةِ وَيَصُدُّونَ عَنْ سَبِيلِ اللَّهِ وَيَبْغُونَهَا عِوَجًا أُولَئِكَ فِي ضَلَالٍ بَعِيدٍ٣﴾

“ (Maka) orang-orang yang lebih mengutamakan kehidupan dunia berbanding kehidupan akhirat, dan menghalang manusia daripada jalan agama Allah, serta menginginkan agar jalan Allah menjadi bengkok (terpesong). Mereka itulah orang-orang yang terjerumus ke dalam kesesatan yang jauh terpesong.” (Surah Ibrahim: 3)

Antara pendekatan yang diambil oleh musuh Islam ialah menimbulkan keraguan dan salah faham terhadap Islam, dengan menyasarkan hukum-hukum Islam yang tertentu untuk diragukan tanpa menyatakan proses pelaksanaan dan hikmah hukum tersebut. Keraguan tersebut dilakukan dengan sengaja atau secara jahil.

Sebagai contoh, keraguan terhadap hukum pembahagian pusaka yang berbeza-beza antara lelaki dan wanita, hukum poligami, hukum dalam jenayah Islam, hukum halal dan haram dan hak wanita dalam aspek keperluan hidup dan moral. Apa yang mereka lakukan kononnya atas nama kesaksamaan, berbeza dengan keadilan yang meletakkan sesuatu pada tempatnya yang sebenar.

Semua isu tersebut dikemukakan secara provokasi atau membangkitkan persoalan yang merosakkan keimanan kepada ilmu Allah SWT dan sifat-Nya yang Maha Adil, lagi Maha Bijaksana. Sengaja dibangkitkan persoalan pada kebanyakan perkara yang tidak mampu dicapai oleh akal manusia dalam tempoh masa yang pantas atau secara spontan.

Namun, akhirnya ternyata penemuan yang sebenar setelah ia memakan masa yang lama untuk mengkajinya dengan mendalami Maqasid al-Syari‘ah.

Allah SWT memberikan amaran kepada seluruh manusia sebagaimana firman-Nya:

﴿وَلَا تَقْفُ مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ إِنَّ السَّمْعَ وَالْبَصَرَ وَالْفُؤَادَ كُلُّ أُولَئِكَ كَانَ عَنْهُ مَسْئُولًا٣٦﴾

“Dan janganlah engkau mengikuti apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semua anggota itu tetap akan diminta pertanggungjawaban (akan apa yang dilakukannya).” (Surah al-Isra’: 36)

Pendekatan yang diambil oleh musuh Islam juga dengan mencari kesalahan yang berlaku dalam kalangan umat Islam, khususnya dalam kalangan agamawan untuk dibesar-besarkan menjadi berita utama atau perdana.

Akan tetapi, sengaja disembunyikan kesalahan pihak lain yang berlipat kali ganda salah, atau dianggap tidak salah mengikut akal mereka. Sedangkan perkara itu memang salah kepada penganut Islam.

Mereka lupa kepada Allah SWT yang membuka pintu taubat kepada hamba-Nya dengan dihapuskan dosa setelah bertaubat atau dihukum dengan adil.

Ada pula yang berani merendah-rendahkan ketinggian Islam dan kemuliaannya seperti melindungi jenayah murtad dengan tindakan undang-undang atas nama hak asasi manusia, mengikut perhitungan pemikiran yang membawa agenda zaman penjajah yang masih berkuasa.

Seolah-olah kiblat mereka masih ke arah negara penjajah itu dan kesetiaannya tidak kepada negara ini yang menegaskan Islam adalah agama bagi negara. Maka, di sini ada media musuh Islam yang memainkan peranan dalam mendukungnya dengan aktif dan secara terbuka mahupun tersembunyi.

Musuh yang paling besar ialah kejahilan agama dalam diri umat Islam sehingga lemahnya iman mereka. Hal ini demikian kerana, mendedahkan seseorang itu kepada godaan syaitan dengan mudah dan mengheret mereka kepada kesesatan sehingga menjadi bala tentera syaitan.

Hal ini disebutkan oleh firman Allah SWT:

﴿وَكَذَلِكَ جَعَلْنَا لِكُلِّ نَبِيٍّ عَدُوًّا شَيَاطِينَ الْإِنْسِ وَالْجِنِّ يُوحِي بَعْضُهُمْ إِلَى بَعْضٍ زُخْرُفَ الْقَوْلِ غُرُورًا وَلَوْ شَاءَ رَبُّكَ مَا فَعَلُوهُ فَذَرْهُمْ وَمَا يَفْتَرُونَ١١٢﴾

“Dan demikianlah Kami menjadikan bagi tiap-tiap Nabi itu musuh daripada kalangan syaitan-syaitan (dari jenis) manusia dan jin, sebahagian daripada mereka membisikkan kepada sebahagian yang lain perkataan-perkataan dusta yang indah-indah susunannya untuk memperdaya pendengarnya. Dan jika Tuhanmu menghendaki, nescaya mereka tidak melakukannya. Oleh itu, biarkanlah mereka dan apa yang mereka ada-adakan (daripada perbuatan yang kufur dan dusta) itu.” (Surah al-An‘am: 112)

Allah SWT juga menyatakan bahawa syaitan itu terdapat dalam kalangan manusia yang bercampur dalam masyarakat. Kemudian menyebarkan hasutannya sehingga merekrut pasukannya dalam kalangan manusia dan terkini pula dalam kalangan pengamal media musuh Islam.

Firman Allah SWT menjelaskan perkara tersebut:

﴿لَوْ خَرَجُوا فِيكُمْ مَا زَادُوكُمْ إِلَّا خَبَالًا وَلَأَوْضَعُوا خِلَالَكُمْ يَبْغُونَكُمُ الْفِتْنَةَ وَفِيكُمْ سَمَّاعُونَ لَهُمْ وَاللَّهُ عَلِيمٌ بِالظَّالِمِينَ٤٧﴾

“Jika mereka berangkat pergi bersama kalian, nescaya mereka tidak akan menambahkan (kekuatan) bagi kalian, malah hanya membuat kekacauan belaka, dan mereka tentu segera ke hadapan di celah barisan kalian untuk mengadakan hasutan antara kalian, (dengan tujuan) hendak menimbulkan fitnah (kekacauan) dalam kalangan kalian; sedangkan antara kalian ada orang yang suka mendengar hasutan mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui akan orang-orang yang zalim.” (Surah al-Tawbah: 47)

Mereka melaporkan berita secara sensasi bagi menggemparkan pemikiran manusia. Berita itu sama ada berita benar yang tidak ditangani dengan adil sehingga melampau menjadi fitnah yang merosakkan ataupun berita salah yang fitnahnya lebih besar.

Adapun mereka yang berwaspada dalam perjalanan hidup mereka akan sentiasa mencari penjelasan dan menemui kebenaran tanpa tertipu atau tergoda, tidak tersesat dan tidak berlaku zalim. Mereka itu berpegang kepada peringatan Allah SWT melalui firman-Nya:

﴿يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنْ جَاءَكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنُوا أَنْ تُصِيبُوا قَوْمًا بِجَهَالَةٍ فَتُصْبِحُوا عَلَى مَا فَعَلْتُمْ نَادِمِينَ٦﴾

“Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kalian seorang fasiq membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kalian tidak menimpakan suatu musibah ke atas suatu kaum dengan sebab kejahilan kalian (mengenainya), sehingga menyebabkan kalian menyesali atas apa yang kalian telah lakukan.” (Surah al-Hujurat: 6)

Al-Quran tetap menjadi petunjuk sepanjang zaman dan menjadi lampu yang tidak padam menyuluh perjalanan hidup manusia sehingga akhir hayat.

Firman Allah SWT:

﴿أَفَلَا يَتَدَبَّرُونَ الْقُرْآنَ وَلَوْ كَانَ مِنْ عِنْدِ غَيْرِ اللَّهِ لَوَجَدُوا فِيهِ اخْتِلَافًا كَثِيرًا٨٢ وَإِذَا جَاءَهُمْ أَمْرٌ مِنَ الْأَمْنِ أَوِ الْخَوْفِ أَذَاعُوا بِهِ وَلَوْ رَدُّوهُ إِلَى الرَّسُولِ وَإِلَى أُولِي الْأَمْرِ مِنْهُمْ لَعَلِمَهُ الَّذِينَ يَسْتَنْبِطُونَهُ مِنْهُمْ وَلَوْلَا فَضْلُ اللَّهِ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَتُهُ لَاتَّبَعْتُمُ الشَّيْطَانَ إِلَّا قَلِيلًا٨٣﴾

“Patutkah mereka tidak mahu memerhatikan isi al-Quran? Sekiranya al-Quran itu (datangnya) bukan dari sisi Allah, nescaya mereka akan mendapati banyak perselisihan. (82); Dan apabila datang kepada mereka sesuatu berita mengenai keamanan atau kecemasan, mereka terus menghebahkannya; padahal kalau mereka kembalikan sahaja hal itu kepada Rasulullah dan kepada Ulil Amri (orang-orang yang berkuasa) antara mereka, tentulah hal itu dapat diketahui oleh orang-orang yang layak mengambil keputusan mengenainya antara mereka; dan jika tidak kerana limpah kurnia Allah dan rahmat-Nya kepada kalian, tentulah kalian (terbabas) menuruti syaitan kecuali sedikit sahaja (iaitu orang-orang yang teguh imannya dan luas ilmunya antara kalian). (83).” (Surah al-Nisa’: 82-83)

Oleh itu, kenalilah syaitan-syaitan itu ialah musuh manusia untuk selama-lamanya sejak Nabi Adam AS hingga Hari Kiamat. Allah SWT memberikan peringatan melalui firman-Nya:

﴿أَلَمْ أَعْهَدْ إِلَيْكُمْ يَا بَنِي آدَمَ أَنْ لَا تَعْبُدُوا الشَّيْطَانَ إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُبِينٌ٦٠ وَأَنِ اعْبُدُونِي هَذَا صِرَاطٌ مُسْتَقِيمٌ٦١ وَلَقَدْ أَضَلَّ مِنْكُمْ جِبِلًّا كَثِيرًا أَفَلَمْ تَكُونُوا تَعْقِلُونَ٦٢﴾

“Bukankah Aku telah memerintahkan kalian wahai anak-anak Adam, supaya kalian jangan sekali-kali menyembah syaitan? Sesungguhnya mereka itu ialah musuh yang nyata terhadap kalian. (60); Dan (Aku memerintahkan): hendaklah kalian menyembah-Ku; inilah jalan yang lurus. (61); Dan sesungguhnya syaitan itu telah menyesatkan golongan yang ramai antara kalian; (setelah kalian mengetahui akibat mereka) maka apakah kalian tidak memikirkannya (dan insaf)? (62).” (Surah Yasin: 60-62)

Ketahuilah bahawa syaitan-syaitan itu tidak akan dapat membela para pengikutnya setelah mereka semua dibicarakan di hadapan Allah SWT kelak. Selari dengan firman Allah SWT:

﴿وَقَالَ الشَّيْطَانُ لَمَّا قُضِيَ الْأَمْرُ إِنَّ اللَّهَ وَعَدَكُمْ وَعْدَ الْحَقِّ وَوَعَدْتُكُمْ فَأَخْلَفْتُكُمْ وَمَا كَانَ لِيَ عَلَيْكُمْ مِنْ سُلْطَانٍ إِلَّا أَنْ دَعَوْتُكُمْ فَاسْتَجَبْتُمْ لِي فَلَا تَلُومُونِي وَلُومُوا أَنْفُسَكُمْ مَا أَنَا بِمُصْرِخِكُمْ وَمَا أَنْتُمْ بِمُصْرِخِيَّ إِنِّي كَفَرْتُ بِمَا أَشْرَكْتُمُونِ مِنْ قَبْلُ إِنَّ الظَّالِمِينَ لَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ٢٢﴾

“Dan berkatalah pula syaitan setelah selesai perkara itu (hisab): ‘Sesungguhnya Allah telah menjanjikan kalian dengan janji yang benar dan aku telah menjanjikan kalian, tetapi aku memungkiri janjiku itu kepada kalian; dan tiadalah bagiku sebarang kekuasaan untuk mempengaruhi kalian selain daripada aku telah mengajak kalian lalu kalian terburu-buru menuruti ajakanku itu; maka janganlah kalian menyalahkan daku tetapi salahkan diri kalian sendiri. Aku tidak dapat menyelamatkan kalian dan kalian juga tidak dapat menyelamatkan daku. Sesungguhnya sejak dari dahulu lagi aku telah kufur ingkarkan (perintah Tuhan) yang kalian sekutukan daku dengan-Nya’. Sesungguhnya orang-orang yang zalim (yang meletakkan sesuatu pada bukan tempatnya) beroleh azab yang sangat pedih.” (Surah Ibrahim: 22)

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

Bertarikh: 10 Rabi’ul Awwal 1443 / 17 Oktober 2021