Peranan Islam Rumpun Melayu Dalam Politik Negara

130

Perlu dibezakan antara peranan bangsa atau kaum dengan fanatik kebangsaan atau perkauman. Kewujudan bangsa atau suku kaum ialah ketetapan Allah kepada makhluk manusia ciptaan-Nya, yang diletakkan di bumi dan di alam dunia ini supaya beribadat kepada Allah Pencipta Alam.

Kejadiannya adalah berhikmah iaitu bagi memakmurkan bumi yang banyak sumber bermanfaat, melalui kehidupan yang berbeza budaya, ilmu, dan kebolehan serta kemampuan yang pelbagai. Semua perkara itu dikurniakan kepada makhluk manusia dan tidak ada pada makhluk yang lain. Firman Allah SWT:

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ إِنَّا خَلَقۡنَٰكُم مِّن ذَكَرٖ وَأُنثَىٰ وَجَعَلۡنَٰكُمۡ شُعُوبٗا وَقَبَآئِلَ لِتَعَارَفُوٓاْۚ إِنَّ أَكۡرَمَكُمۡ عِندَ ٱللَّهِ أَتۡقَىٰكُمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٞ ١٣

“Wahai manusia, sesungguhnya, Kami menciptakan kamu daripada seorang lelaki dan seorang perempuan serta menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku kaum, supaya kamu saling mengenali (berhubungan)! Sesungguhnya, orang yang paling mulia antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa antara kamu. Sesungguhnya, Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.” [Surah al-Hujurat: 13]

Firman Allah SWT:

وَعَلَّمَ ءَادَمَ ٱلۡأَسۡمَآءَ كُلَّهَا ثُمَّ عَرَضَهُمۡ عَلَى ٱلْمَلَـٰٓئِكَةِ فَقَالَ فَقَالَ أَنۢبِـُٔونِى بِأَسۡمَآءِ هَـٰٓؤُلَآءِ إِن كُنتُمۡ صَٰدِقِينَ ٣١ قَالُواْ سُبۡحَٰنَكَ لَا عِلۡمَ لَنَآ إِلَّا مَا عَلَّمۡتَنَآۖ إِنَّكَ أَنتَ ٱلۡعَلِيمُ ٱلۡحَكِيمُ ٣٢

“Dan Dia mengajari Adam nama-nama (benda-benda) seluruhnya, kemudian mengemukakannya kepada para Malaikat, lalu berfirman, ‘Sebutkanlah kepada-Ku nama benda-benda itu jika kamu memang benar orang-orang yang benar!’ (31) Mereka menjawab, ‘Maha Suci Engkau, tidak ada yang kami ketahui selain daripada apa-apa yang telah Engkau ajarkan kepada kami. Sesungguhnya, Engkaulah Yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.’ (32)” [Surah al-Baqarah: 31–32]

Manusia diciptakan hidup bersendiri, berkeluarga, dan bermasyarakat yang diringkaskan dengan perkataan ‘madani’ menjadi tabiinya. Kemudian, manusia dijadikan pula berbagai-bagai bangsa dan suku kaum. Manusia ditugaskan untuk berperanan yang disimpulkan dalam tanggungjawab ibadat, politik, dan menunaikan amanah (menegakkan keadilan hukum Allah kepada semua).

Dalam aspek menunaikan amanah, perkara terpenting adalah menegakkan keadilan kepada semua, perkara ini memerlukan kuasa politik kepada yang layak melaksanakannya dan berkewajipan menerimanya. Firman Allah SWT:

۞إِنَّ ٱللَّهَ يَأۡمُرُكُمۡ أَن تُؤَدُّواْ ٱلۡأَمَٰنَٰتِ إِلَىٰٓ أَهۡلِهَا وَإِذَا حَكَمۡتُم بَيۡنَ ٱلنَّاسِ أَن تَحۡكُمُواْ بِٱلۡعَدۡلِۚ إِنَّ ٱللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُم بِهِۦٓۗ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ سَمِيعَۢا بَصِيرٗا ٥٨

“Sesungguhnya, Allah menyuruh kamu menunaikan segala amanah kepada yang berhak dan layak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum antara manusia hendaklah kamu menetapkannya dengan adil. Sesungguhnya, Allah memberikan pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya, Allah adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.” [Surah al-Nisa’: 58]

Allah melantik para rasul yang menjadi teladan pelaksanaan amanah, dipilih secara langsung bagi memimpin manusia dengan petunjuk Allah melalui ilmu wahyu. Mereka ialah insan yang memiliki akal paling bijak melalui kewajipannya dengan sifat dan akhlak manusia yang paling mulia dan sempurna, supaya menjadi teladan dan panduan kepada seluruh manusia.

Seterusnya, para rasul dikuatkan dengan sokongan kumpulan yang didominasi oleh keluarga dan bangsa masing-masing yang memberikan kehebatan, melindungi, dan mempertahankan mereka daripada musuh. Firman Allah SWT:

وَمَآ أَرۡسَلۡنَا مِن رَّسُولٍ إِلَّا بِلِسَانِ قَوۡمِهِۦ لِيُبَيِّنَ لَهُمۡۖ فَيُضِلُّ ٱللَّهُ مَن يَشَآءُ وَيَهۡدِي مَن يَشَآءُۚ وَهُوَ ٱلۡعَزِيزُ ٱلۡحَكِيمُ ٤ وَلَقَدۡ أَرۡسَلۡنَا مُوسَىٰ بِـَٔايَـٰتِنَآ أَنۡ أَخۡرِجۡ قَوۡمَكَ مِنَ ٱلظُّلُمَٰتِ إِلَى ٱلنُّورِ وَذَكِّرۡهُم بِأَيَّىٰمِ ٱللَّهِۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَأٓيَٰتٖ لِّكُلِّ صَبَّارٖ شَكُورٖ ٥

“Kami tidak mengutus seorang rasul pun melainkan dengan bahasa kaumnya, supaya dia dapat memberikan penjelasan dengan terang kepada mereka. Maka, Allah menyesatkan sesiapa yang Dia kehendaki dan memberikan petunjuk kepada sesiapa yang Dia kehendaki. Dan Dialah Tuhan Yang Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana. (4) Dan sesungguhnya, Kami telah mengutus Musa dengan membawa ayat-ayat Kami, (dan Kami perintahkan kepadanya), ‘Keluarkanlah kaummu daripada gelap-gelita kepada cahaya terang benderang dan ingatkanlah mereka kepada hari-hari Allah.’ Sesungguhnya, pada yang demikian itu terdapat tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi setiap orang penyabar dan banyak bersyukur. (5)” [Surah Ibrahim: 4–5]

Nabi Musa AS bermula dengan Bani Isra’il, kaum bangsanya sendiri yang menghadapi Firaun yang disokong oleh kaumnya, bangsa Qibti Mesir.

Begitu juga para rasul lain yang berdakwah bermula dengan kaum dan bangsa mereka menggunakan bahasa mereka. Termasuklah nabi akhir zaman yang diutus kepada seluruh manusia yang diperintahkan untuk memulakan dakwah kepada keluarga dan kaumnya, bangsa Arab dalam kalangan kabilah Quraisy. Firman Allah SWT:

هُوَ ٱلَّذِي بَعَثَ فِي ٱلْأُمِّيِّـۧنَ رَسُولٗا مِّنۡهُمۡ يَتۡلُواْ عَلَيۡهِمۡ ءَايَٰتِهِۦ وَيُزَكِّيهِمۡ وَيُعَلِّمُهُمُ ٱلۡكِتَٰبَ وَٱلۡحِكۡمَةَ وَإِن كَانُواْ مِن قَبۡلُ لَفِي ضَلَٰلٖ مُّبِينٖ ٢ وَءَاخَرِينَ مِنۡهُمۡ لَمَّا يَلۡحَقُواْ بِهِمۡۚ وَهُوَ ٱلۡعَزِيزُ ٱلۡحَكِيمُ ٣ ذَٰلِكَ فَضۡلُ ٱللَّهِ يُؤۡتِيهِ مَن يَشَآءُۚ وَٱللَّهُ ذُو ٱلۡفَضۡلِ ٱلۡعَظِيمِ ٤

“Dialah yang mengutus kepada kaum yang buta huruf seorang Rasul antara mereka, yang membacakan ayat-ayat-Nya kepada mereka, menyucikan mereka, dan mengajari mereka Kitab (al-Quran) dan Hikmah (al-Sunnah). Dan sesungguhnya, mereka sebelumnya benar-benar dalam kesesatan yang nyata. (2) Dan (juga) kepada kaum yang lain daripada mereka yang belum berhubungan dengan mereka. Dan Dialah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana. (3) Demikianlah kurnia Allah, diberikan-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya; dan Allah mempunyai kurnia yang besar. (4)” [Surah al-Jumu‘ah: 2–4]

Para ulama’ siasah syar‘iyyah yang bermazhab Ahli al-Sunnah wa al-Jama‘ah menetapkan syarat kesempurnaan seorang ketua itu mestilah dengan ada dukungan bangsa yang seagama bagi pemimpin sebuah negara Islam, ditambah dengan kekuatan ilmunya. Kebergantungan kepada bangsa atau kaum yang mendominasi masyarakat berdalilkan hadis Rasulullah SAW:

‌الْأَئِمَّةُ ‌مِنْ ‌قُرَيْشٍ.

“Ketua negara itu hendaklah daripada kalangan Quraisy.” [Riwayat al-Nasa’i, al-Sunan al-Kubra, Kitab al-Qada’, No. 5909, dan Ahmad, Musnad Ahmad, Musnad al-Mukthirin min al-Sahabah, No. 12307, daripada Anas bin Malik]

Imam atau ketua negara daripada kalangan Quraisy ialah mengikut keadaan pada awal Islam. Syarat kebangsaannya berubah apabila berubahnya bangsa Islam yang mendominasi negara yang ditegakkan. Inilah pandangan menurut mazhab Ahli al-Sunnah wa al-Jama‘ah berdalilkan al-Quran dan hadis, di samping para sahabat yang memilih khalifah selepas kewafatan Rasulullah SAW dan para tabiin berikutnya sepanjang sejarah keemasan Islam berkuasa.

Adapun pendapat yang memilih pemimpin negara tanpa mengira kaum adalah daripada mazhab Khawarij, manakala Syiah pula mensyaratkan keluarga Rasulullah SAW (Ahli al-Bait). Namun, ulama’ Syiah di Iran melakukan tajdid selepas Revolusi Islam dengan mengadakan pilihan raya yang mentarjihkan pandangan mazhab Ahli al-Sunnah wa al-Jama‘ah dalam politik negara mereka.

Kedudukan kaum yang mendominasi umat Islam berubah kedudukannya, tidak tetap kepada bangsa Arab dan kaum Quraisy sahaja. Hal ini berpandukan sambungan kepada firman Allah SWT dalam ayat di atas, iaitu:

وَءَاخَرِينَ مِنۡهُمۡ لَمَّا يَلۡحَقُواْ بِهِمۡۚ وَهُوَ ٱلۡعَزِيزُ ٱلۡحَكِيمُ ٣ ذَٰلِكَ فَضۡلُ ٱللَّهِ يُؤۡتِيهِ مَن يَشَآءُۚ وَٱللَّهُ ذُو ٱلۡفَضۡلِ ٱلۡعَظِيمِ ٤

“Dan (juga) kepada kaum yang lain daripada mereka yang belum berhubungan dengan mereka. Dan Dialah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana. (3) Demikianlah kurnia Allah, diberikan-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya; dan Allah mempunyai kurnia yang besar. (4)” [Surah al-Jumu‘ah: 3–4]

Rasulullah SAW ditanya berkenaan (وَءَاخَرِينَ مِنۡهُمۡ لَمَّا يَلۡحَقُواْ بِهِمۡ):

مَنْ هُمْ يَا رَسُولَ اللهِ؟

“Siapakah kaum itu, wahai Rasulullah?”

Baginda terus meletakkan tangannya di atas sahabatnya, Salman al-Farisi RA, lalu bersabda,

لَوْ كَانَ الْإِيمَانُ عِنْدَ الثُّرَيَّا، لَنَالَهُ رِجَالٌ، أَوْ رَجُلٌ، مِنْ هَؤُلَاءِ.

“Sekiranya iman itu berada di bintang al-Thurayya, maka akan dicapai oleh lelaki-lelaki atau lelaki daripada golongan mereka (orang Parsi).” [Riwayat al-Bukhari, Sahih al-Bukhari, Kitab Tafsir al-Qur’an, No. 4897, dan Muslim, Sahih Muslim, Kitab Fada’il al-Sahabah, No. 2546, daripada Abu Hurairah]

Perkara ini menepati juga firman Allah SWT:

هَـٰٓأَنتُمْ هَـٰٓؤُلَآءِ تُدۡعَوۡنَ لِتُنفِقُواْ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ فَمِنكُم مَّن يَبۡخَلُۖ وَمَن يَبۡخَلۡ فَإِنَّمَا يَبۡخَلُ عَن نَّفۡسِهِۦۚ وَٱللَّهُ ٱلۡغَنِيُّ وَأَنتُمُ ٱلۡفُقَرَآءُۚ وَإِن تَتَوَلَّوۡاْ يَسۡتَبۡدِلۡ قَوۡمًا غَيۡرَكُمۡ ثُمَّ لَا يَكُونُوٓاْ أَمۡثَٰلَكُم ٣٨

“Ingatlah, kamu ini orang-orang yang diajak untuk menafkahkan (hartamu) di jalan Allah, maka antara kamu ada yang bakhil. Dan sesiapa yang bakhil, sesungguhnya, dia hanyalah bakhil terhadap dirinya sendiri. Dan Allahlah Yang Maha Kaya, sedangkan kamulah orang-orang yang berkehendak (kepada-Nya). Dan jika kamu berpaling, nescaya Dia akan mengganti (kamu) dengan kaum yang lain; dan mereka tidak akan seperti kamu ini.” [Surah Muhammad: 38]

Sejarah Islam membuktikan adanya pertukaran bangsa penganut Islam yang memimpin negara yang besar ini sepanjang perjalanannya ke seluruh pelosok dunia, daripada bangsa Arab kepada Kurdi, Turki, dan lain-lain.

Apabila Islam datang ke Nusantara, maka bangsa Melayu daripada pelbagai suku kaumnya menjadi raja dan pemimpin yang menubuhkan kerajaan Islam.

Di Malaysia, berlaku betapa eratnya hubungan antara Melayu dengan Islam sehingga tidak boleh berpisah. Sesiapa sahaja yang menganut Islam dinamakan Melayu walaupun pelbagai suku kaumnya seperti Melayu, Jawa, Aceh, Banjar, Minang, dan lain-lain, termasuk yang asalnya Arab, India, Cina, dan sebagainya dinamakan Melayu juga apabila menganut Islam. Apabila seseorang Melayu keluar dari Islam, maka dia dikira bukan Melayu lagi.

Maka, diadakan lagi ketetapan secara bertulis dalam Perlembagaan Persekutuan bahawa Islam ialah agama bagi Persekutuan, hak istimewa Melayu dan Bumiputera, serta bahasa kebangsaannya ialah bahasa Melayu.

Bahasa Melayu dan tulisannya yang berhuruf Arab dan Parsi menjadi bahasa kebangsaan dan perantaraan masyarakat majmuk. Seterusnya, bahasa Melayu menjadi bahasa agama di samping bahasa Arab sehingga dijadikan bahasa ilmu di Nusantara.

Maka, Melayu Islam boleh dijadikan syarat kepimpinan kerajaan di rantau ini seperti kedudukan raja-raja Melayu yang dikekalkan. Keadaan ini bersempena dengan Rasulullah SAW yang menetapkan semua raja yang memeluk Islam tidak diturunkan daripada takhta mereka apabila Islam menjadi anutan penduduk, seperti Raja Oman, Raja Habsyah, dan raja-raja Yaman pada zaman Rasulullah SAW dan Khulafa’ al-Rasyidin RA, Umawiyyah, ‘Abbasiyyah, sehinggalah ‘Uthmaniyyah.

Konsep khilafah dan raja berperlembagaan ditulis oleh para ulama’ fiqh siasah Islamiah dalam sistem ekonomi, politik, dan pentadbiran, seperti yang terkandung dalam kitab:

Al-Mawardi – al-Ahkam al-Sultaniyyah wa al-Wilayat al-Diniyyah
Imam al-Haramain – Ghiyath al-Umam fi al-Tiyath al-Zulam
Ibn Taimiyyah – al-Siyasah al-Syar‘iyyah fi Islah al-Ra‘i wa al-Ra‘iyyah
Abu Yusuf – Kitab al-Kharaj
Abu ‘Ubaid al-Qasim – Kitab al-Amwal

Karya-karya ini menjadi khazanah ilmu Islam yang berkekalan walaupun kerajaan Islam telah dihapuskan oleh para penjajah. Peranan umat Islam menentang penjajahan ialah pengasas perjuangan kemerdekaan yang tidak dilupakan, walaupun mereka dinafikan dalam sistem pendidikan yang diatur oleh penjajah yang diteruskan perjalanannya sehingga kini.

Penerimaan bangsa Melayu Islam terhadap masyarakat majmuk ialah pengaruh ajaran Islam yang pernah berdaulat, dan ia sepatutnya dihargai dan dikenang budinya oleh kaum dan bangsa lain yang dibawa masuk oleh penjajah selepas mereka merampas kuasa Islam di rantau ini.

Keadaan ini dirosakkan oleh penjajah ketika penaklukan mereka sehingga menjajah pemikiran rakyat, khususnya bangsa Melayu yang telah dimuliakan oleh Islam menjadi bangsa yang memimpin sejak awal kedatangan Islam, namun bertukar menjadi bangsa yang lemah di dalam tanah air sendiri.

Berlakunya amaran Allah kepada bangsa Arab pada zaman awal Islam:

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ مَا لَكُمۡ إِذَا قِيلَ لَكُمُ ٱنفِرُواْ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ ٱثَّاقَلۡتُمۡ إِلَى ٱلۡأَرۡضِۚ أَرَضِيتُم بِٱلۡحَيَوٰةِ ٱلدُّنۡيَا مِنَ ٱلۡأٓخِرَةِۚ فَمَا مَتَٰعُ ٱلۡحَيَوٰةِ ٱلدُّنۡيَا فِي ٱلۡأٓخِرَةِ إِلَّا قَلِيلٌ ٣٨ إِلَّا تَنفِرُواْ يُعَذِّبۡكُمۡ عَذَابًا أَلِيمٗا وَيَسۡتَبۡدِلۡ قَوۡمًا غَيۡرَكُمۡ وَلَا تَضُرُّوهُ شَيۡـٔٗاۗ وَٱللَّهُ عَلَىٰ كُلِّ شَيۡءٖ قَدِيرٌ ٣٩

“Wahai orang-orang yang beriman, apakah sebabnya bila dikatakan kepadamu, ‘Berangkatlah (untuk berjuang) di jalan Allah,’ kamu merasa berat dan ingin tinggal di tempatmu? Adakah kamu puas dengan kehidupan di dunia sebagai ganti kehidupan di akhirat? Padahal keni‘matan hidup di dunia ini (dibandingkan dengan kehidupan) di akhirat hanyalah sedikit. (38) Jika kamu tidak berangkat untuk berjuang, nescaya Allah menyeksa kamu dengan seksa yang pedih dan digantinya (kamu) dengan kaum yang lain, dan kamu tidak akan dapat memberikan kemudaratan kepada-Nya sedikit pun. Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu. (39)” [Surah al-Tawbah: 38–39]

Inilah amaran kepada bangsa yang tidak berjuang mendapat kuasa politik Islam yang memerintah akan menjadi hina di dunia sebelum akhirat.

Hilangnya kuasa politik Arab sehingga kekayaannya tidak berfaedah dan tidak mampu membebaskan Palestin yang dikuasai Zionis yang kecil jumlahnya, malah menjadi hina. Begitu juga hilangnya kuasa politik Melayu di Singapura menjadi teladan terdekat, apabila hilangnya kesedaran akan kepentingan peranan politik.

Wajib menjadi iktibar betapa Rasulullah SAW mendahulukan kejayaan Perjanjian Hudaibiyyah sehingga menangguhkan ibadat umrah dan menangguhkan ibadat haji sehingga Fathu Makkah bagi meneguhkan kuasa politik mendaulatkan Islam.

Maka, para sahabat RA cepat-cepat bermesyuarat memilih ketua negara daripada kalangan kaum Quraisy, sehingga sebahagian besar tidak menghadiri pengebumian jenazah Rasulullah SAW yang paling mulia dan dikasihi.

Akhirnya, mereka berjaya mencapai janji Allah SWT:

وَعَدَ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ مِنكُمۡ وَعَمِلُواْ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ لَيَسۡتَخۡلِفَنَّهُمۡ فِي ٱلۡأَرۡضِ كَمَا ٱسۡتَخۡلَفَ ٱلَّذِينَ مِن قَبۡلِهِمۡ وَلَيُمَكِّنَنَّ لَهُمۡ دِينَهُمُ ٱلَّذِي ٱرۡتَضَىٰ لَهُمۡ وَلَيُبَدِّلَنَّهُم مِّنۢ بَعۡدِ خَوۡفِهِمۡ أَمۡنٗاۚ يَعۡبُدُونَنِي لَا يُشۡرِكُونَ بِي شَيۡـٔٗاۚ وَمَن كَفَرَ بَعۡدَ ذَٰلِكَ فَأُوْلَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلۡفَٰسِقُونَ ٥٥

“Dan Allah telah berjanji kepada orang-orang yang beriman antara kamu dan mengerjakan amal-amal yang soleh, bahawa Dia sungguh-sungguh akan menjadikan mereka berkuasa di muka bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang sebelum mereka berkuasa, dan Dia sungguh-sungguh akan meneguhkan bagi mereka agama yang telah diredai-Nya untuk mereka, dan Dia benar-benar akan menukar (keadaan) mereka sesudah mereka dalam ketakutan menjadi aman sentosa. Mereka tetap menyembahku-Ku dengan tiada mempersekutukan sesuatu apa pun dengan Aku. Dan sesiapa yang (tetap) kafir sesudah (janji) itu, maka mereka itulah orang-orang yang fasiq.” [Surah al-Nur: 55]

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

Bertarikh: 2 Rabi’ulawal 1446 / 6 September 2024

[Bil: 38 / 2024]