Perak Tiada Halangan Hantar Penuntut Sambung Pengajian Di Mesir Dan Jordan

1428

Kerajaan negeri Perak tiada halangan menghantar penuntut dari negeri itu menyambung pengajian di negara Timur Tengah kerana keadaan di negara berkenaan ketika ini terkawal.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Islam, Pembangunan Sahsiah, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri Datuk Mohd Nizar Zakaria berkata kerajaan negeri akan terus menghantar anak-anak Perak menyambung pengajian mereka di Jordan dan Mesir.

“Saya baru sahaja pulang dari Mesir dan Jordan, saya dapat lihat lebih dekat keadaan persekitaran dan juga penuntut yang berada di sana berada dalam keadaan baik walaupun ada kereta kebal di jalan raya,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Sekolah-sekolah Agama peringkat negeri Perak 2014 di sini pada Jumaat.

Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Raja Permaisuri Tuanku Zara Salim turut berkenan berangkat ke majlis itu dan menyampaikan Anugerah Kecemerlangan Pendidikan kepada 21 penerima termasuk guru dan pelajar.

DSC_0136 (2)Baginda turut melancarkan buku teks Thanawi 1 terbitan bahagian pendidikan untuk digunakan di sekolah agama negeri, sekolah menengah agama rakyat dan sekolah agama bantuan kerajaan negeri.

Mohd Nizar berkata sehingga kini, kerajaan negeri telah menghantar 400 penuntut menyambung pengajian di Mesir dan Jordan manakala pengambilan baharu sebanyak 60 orang.

Jelasnya, kerajaan negeri sentiasa memantau keselamatan dan kebajikan penuntut di sana kerana mereka adalah harapan negara untuk berkhidmat kepada masyarakat.

Beliau berkata kerajaan negeri akan terus mencari peluang dan ruang menghantar pelajar berpotensi menyambung pengajian ke negara lain seperti Morocco dan Oman.

Katanya pelajar yang ingin menyambung pengajian ke luar negara perlu mendaftar dengan Jabatan Agama Islam Perak bagi mengelak berlaku masalah kemas kini statistik penuntut yang berada di sana.- BERNAMA