Penternak Ikan, Pekerja Kilang Tidak Dilupakan

150

KUALA TERENGGANU – Penternak ikan sangkar dan pekerja kilang tidak dilupakan oleh pemimpin PAS yang menerajui kerajaan negeri Terengganu.

Ketua Penerangan PAS Hulu Terengganu, YB Ustaz Maliaman Kassim berkata, beliau turun, melihat sendiri dan meninjau kolam ikan komuniti milik anak Felda Bukit Bading.

“15 peserta terlibat dalam projek penternakan ikan sangkar yang menjadi projek rintis akan bermula tidak lama lagi.

“Sedikit sumbangan suntikan modal untuk menjayakan usaha mereka dalam menternak ikan disangkar atau kolam ini,” ujarnya selepas lawatan tersebut.

Beliau yang juga ADUN Ajil mendoakan agar usaha yang dilakukan oleh mereka, akan berjaya dalam nilai tambah yang boleh meningkatkan pendapatan.

Sementara itu, kelapangan masa hari Sabtu memberi ruang kepada beliau, mengagihkan pelbagai barangan keperluan dapur untuk pekerja kilang Permint Plywood Sdn Bhd.

“Saya amat bersimpati dan berasa sedih. Ramai yang terkesan akibat Covid-19 lebih-lebih lagi ketika PKP 3.0 ini dilaksanakan.

“Ada diantara mereka menjadi harapan mencari nafkah untuk menyara ahli keluarga. Mereka yang tidak merasai tetapi hanya melihat dan mendengar pun mendatangkan kesedihan,” kata beliau.

Oleh itu, beliau menyeru agar semua rakyat negeri ini, bergantung “hanya kepada Allah”, dan terus bermunajat agar diangkat ujian pandemik dan kehidupan kembali normal.

“Angka jangkitan Covid-19 masih bermain sekitar lima ribu kurang lebih, walaupun ada sedikit penurunan.

“Yang mengalaminya lebih lagi tertekan dan kemurungan. Hanya kepada Allah tempat kebergantungan,” jelasnya.

Walaupun lega apabila melihat senyuman di wajah mereka yang menerima bantuan, sesungguhnya kata beliau, “kalau mereka sedih, kita turut terkesan. Semoga Allah mengasihani dan merahmati kita bersama”.