Pentadbiran Islam; Kerjasama Erat Negeri, Persekutuan

150

Selalu orang keliru, jika pentadbiran hal ehwal Islam adalah kuasa negeri, kenapa perlu ada jawatan Menteri di bawah Jabatan Perdana Menteri yang portfolionya juga adalah agama?

Kan lebih elok biarkan sahaja negeri-negeri menguruskan perjalanan urusan agama di negeri masing-masing?

Memang betul Perlembagaan Persekutuan telah memberikan bidang kuasa agama kepada negeri-negeri, namun begitu, pelaksanaan pentadbiran Islam tidak dapat berjalan lancar tanpa kerjasama daripada kerajaan Persekutan.

Dalam hal ini, agensi agama di peringkat Persekutuan dan negeri wujud secara bersama. Bermaksud, agensi agama peringkat persekutuan tidak mempunyai kuasa legislatif mahupun eksekutif ke atas agensi agama negeri. Tidak mempunyai kuasa memberi arahan, ataupun campur tangan.

Walaupun begitu, agensi agama peringkat persekutuan ada peranannya tersendiri dalam urusan pentadbiran Islam yang ada ketikanya turut melibatkan negeri-negeri.
Selain daripada fungsinya untuk menguruskan pentadbiran agama bagi negeri-negeri Wilayah-Wilayah Persekutuan, agensi agama peringkat Persekutuan wujud lebih kepada sebagai penyelaras, tempat rujukan dan dalam keadaan tertentu sebagai pelerai konflik berkaitan agama yang timbul.

Di peringkat Persekutuan, agensi tonggak yang menjalankan kerja penyelarasan bersama negeri-negeri ini adalah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), dan Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR).

Agensi yang menguruskan pentadbiran Islam di peringkat Wilayah Persekutuan pula adalah Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan dan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

Kerajaan Persekutuan sangat menghormati bidang kuasa agama yang diberikan oleh Perlembagaan Persekutuan kepada negeri.

Pada masa yang sama, kita akan terus mengeratkan kerjasama yang ada dan meneroka ruang kerjasama yang baru bagi memastikan agenda memartabatkan Islam di Malaysia dapat dijayakan secara bersama, insya-Allah.

Jemput sertai channel telegram Marzuk Shaary https://t.me/marzukshaary untuk terus mengikuti perkongsian saya dalam isu-isu hal ehwal agama di Malaysia.

Ustaz Marzuk Shaary