Penstrukturan Semula ESSCOM Menjelaskan Kegagalan Kerajaan

905

PAS menyifatkan penstrukturan semula Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) dengan mewujudkan dua komponen utama serta pelantikan Pengarah ESSCOM, Datuk Abdul Rashid Harun sebagai Komander ESSCOM berkuatkuasa 15 Julai 2014 menunjukkan fungsi ESSCOM yang ditubuhkan sejak setahun lalu, gagal dalam menangani keselamatan Sabah.

Menurut Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Dr Ustaz Riduan Mohd Nor, kejadian yang berlaku kelmarin mengesahkan kegagalan kerajaan.

“semalam, apabila tujuh lelaki memakai topeng menggunakan senjata ‘rifle’ semi automatik selain pistol menceroboh masuk ke kawasan sangkar ternakan ikan di Kampung Bangau-Bangau dengan niat mahu menculik seorang pengusaha ikan ternakan sangkar membuktikan keadaan keselamatan perairan Sabah dalam keadaan tegang dan cemas.

“Beberapa episod penculikan penduduk di kawasan perairan Sabah sebelum ini menunjukkan kumpulan lanun mampu dengan sewenang-wenangnya menceroboh masuk ke dalam kawasan penduduk.

“Mereka bebas menyamun, merompak bahkan menculik penduduk termasuk pelancong asing. Seolah-olah perairan negara adalah kawasan terbuka yang bocor dan mudah dibolosi oleh pengganas warga asing.”katanya

Katanya, kerajaan sepatutnya telah lama mengambil langkah serius dengan mengumumkan tindakan yang agresif bagi menangani isu keselamatan negara.

riduan mnor (2)Beliau berkata, peristiwa pencerobohan di Lahad Datu 2013 adalah peristiwa berdarah yang pahit dan sukar dilupakan dalam lipatan sejarah.

“Apakah perlu negara menunggu pelbagai kes penculikan dan pembunuhan baharu tindakan drastik akan diambil?

“Jika pasukan risikan mampu mengenalpasti suspek militan negara asing dan menangkapnya dengan pantas, sebegitu cekap juga tindakan perlu diambil terhadap pengganas di Sabah ketika ini.”ujarnya

Penstrukturan ESSCOM dengan pelantikan Datuk Abdul Rashid Harun mesti meletakkan misi utama iaitu mencegah sebarang aktiviti pencerobohan oleh kumpulan pengganas.

Dengan peranan yang penting ini, ESCCOM mesti menggerakkan pasukan keselamatan dengan menumpukan kawasan ‘panas’ disamping menempatkan pasukan pertahanan negara di kawasan penduduk.

Disamping itu, kata beliau, Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Razak juga mesti menjadikan keselamatan di Sabah sebagai agenda utama negara dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

“Pasukan pertahanan negara di Sabah perlu ditambah dan dipertingkatkan dari masa ke semasa, dengan persenjataan yang moden dan kelengkapan yang mencukupi dan canggih.

“Sebagaimana negara lain, kawalan sempadan negara adalah aspek terpenting dalam menjaga keamanan negara.”jelasnya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan, keselamatan rakyat dan negara mestilah menjadi keutamaan.

“kerajaan Malaysia mesti tegas, berani dan kental dalam menangani isu ini dengan menunjukkan bahawa pasukan keselamatan negara adalah antara yang terbaik di dunia.”tambahnya