Oleh; Dr Riduan Mohamad Nor.
Anak Kelahiran Kelantan serambi mekah ini, almarhum Dr Hamdan Mohammad antara sosok besar dalam dunia penulisan bernuansa fikrah Islam,juga aktif dalam
program kaderisasi dakwah pelajar dalam dekad 1980an dan 1990an . Ustaz Dr Hamdan aktif dalam PAS Kawasan Kuala Terengganu, sangat aktif dalam Dewan Pemuda PAS Terengganu dizaman mudanya
seterusnya dalam Dewan Ulamak PAS Terengganu serta jawatan terakhir beliau ialah Pengerusi Tetap Dewan Ulama PAS Pusat. Menziarahi atau berbual dengan almarhum bermakna aku akan mencungkil banyak sejarah perjuangan dan seputar dunia penulisan kerana kami berkongsi obsesi yang sama. Dalam Muktamar Dewan Ulama Pusat di Kedah baru ini, beliau sempat meluncurkan dua buah karya terbarunya untuk dicicip oleh pencinta dunia buku.
Dr Hamdan dikejarkan ke Hospital Sultanah Bahiyah pasca muktamar Dewan Ulama PAS Pusat, guratan wajahnya memang kelihatan agak tak bermaya semasa sidang Muktamar berlangsung. Beliau juga menyerahkan pengendalian muktamar kepada Timbalan Pengerusi Tetap Dewan Ulama Pusat
Berita kematian Ustaz Dr Hamdan dipagi khamis ini menghiasi medsos serta berjangkit mulut ke mulut terutama aktivis PAS di Terengganu, ribuan anak murid almarhum alumni Institut Berakan juga berkongsi khabar duka ini. Juga anak murid yang belajar dengan almarhum dipelbagai masjid dan surau di negeri Terengganu.
Pendakwah dengan lilitan serban putih semenjak zaman mudanya ini juga adalah pengkuliah dibanyak masjid surau dalam kawasan Kuala Terengganu,Kuala Nerus dan Marang. Seorang yang pendiam namun mutiara katanya cerdas sesuai dengan karektor seorang mufakkir Islam.
Sosok ini terus menjadi kenangan kolektif kita semua. Menjadi aktivis semenjak zaman muda sebagai Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Terengganu,aktif dengan demonstrasi membantah pesta hedonisme di Terengganu, aktivis yang berani mendombrak kezaliman penguasa sehingga memilih menjadi pendidik sekolah persendirian yang tak terikat dengan kerajaan. Almarhum banyak menulis buku ( lebih 20 buah) dan yang paling fenomenal ialah buku ” Siapakah Thaghut “yang diterbitkan pada tahun 1984 oleh Pustaka Damai Terengganu. Pernah mendapat pendidikan tinggi di Deoband India, berdoktorat di Jabatan Sejarah UKM Bangi.
Tokoh ini bukan kepalang iltizamnya dengan perjuangan Islam semenjak zaman mudanya. Almarhum adalah generasi kedua penggerak Institut Berakan ( kemudian dikenali MTT Tok Jiring) setelah generasi pertama seperti Ustaz Abu Bakar Chik, Haji Husin Ismail, Cikgu Sapinah Jusoh, dan lain-lain anak muda berjiwa Islam yang sedang dibius semangat kebangkitan Islam. Generasi tarbiah ini telah menubuhkan Institut Berakan, sebuah sekolah tajnid yang menawarkan pendidikan kepada anak-anak remaja yang terletak di pinggir bandar Kuala Terengganu iatu Pengadang Akar. Pusat kaderisasi dakwah itu akhirnya dirobohkan oleh rejim BN pada tahun 1991. Teman-teman usrahnya ,diketuai almarhum Ustaz Abu Bakar Chik dengan pantas mendirikan semula wadah pendidikan ummah ini, kini kompleks MTT Tok Jiring yang berdiri megah adalah salah satu mercu tanda pendidikan Islam di Terengganu. Almarhum juga bersemadi di tanah kompleks pendidikan ini bersama sahabat-sahabat pendiri MTT yang lain.
Dr Hamdan Mohamad adalah sumber inspirasi yang tak pernah malap, istiqomah dalam pelbagai jawatan dalam PAS. Sosok yang sentiasa menjaga ibadahnya,memanfaat ruang masa dengan membaca dan menulis. Ribuan manusia menyolati jenazah almarhum dan dilakukan sebanyak dua kali,kali pertama di masjid Nurul Ehsan ,Langgar Kedah dan kali kedua di masjid MTT Tok Jiring Terengganu. Al-Fatihah buat sosok aktivis, sang pencerah dan maestro penulisan perjuangan ini. kami juga akan menyusulmu ke lahan negeri abadi!
(Penulis ialah AJK PAS Pusat, Pengerusi LESTARI)