

Saman itu difailkan melalui firma guaman Tetuan Daim & Gamany di pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini.
Alyesak Hamid @Hassan, 34, (Gambar bawah) menamakan Ketua Polis Kuala Lumpur sebagai defendan pertama, Ketua Polis Daerah Dang Wangi sebagai defendan kedua, Ketua Polis Negara sebagai defendan ketiga manakala Kerajaan Malaysia selaku defendan keempat.
Dalam penyataan tuntutan itu, bapa kepada tiga anak itu menuntut gantirugi am sebanyak RM1 juta, gantirugi teruk dan gantirugi teladan sebanyak RM1 juta, ganti rugi khas, faedah atas jumlah ganti rugi yang dituntut sebanyak lapan peratus dari tarikh writ saman difailkan hingga penghakiman.


Dalam penyataan tuntutannya, Alyesak mendakwa pada masa kejadian iaitu pada 4 petang, 10 Nov 2007, beliau yang berada di Jalan Tun Perak di sini bagi tujuan menyertai perhimpunan BERSIH berubah menjadi kelam-kabut selepas diarah beredar dari tempat kejadian.
Ketika diarah beredar oleh Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU), beliau selaku plaintif mendakwa terjatuh akibat diserang dari belakang oleh pihak FRU semasa ingin beredar dari tempat kejadian.
Alyesak mendakwa semasa beliau cuba mengambil langkah ke belakang untuk beredar dan mengelak daripada dirempuh oleh anggota-anggota FRU, beliau terjatuh berhampiran pasu-pasu pokok Bunga di Jalan Tun Perak akibat diserang dan ditolak dari belakang.
Akibat daripada itu, plaintif mendakwa beliau dipijak oleh anggota FRU dari belakang badan dan kaki kirinya dan turut disepak berkali-kali di bahagian lutut dan rusuk kanan dengan kuat yang menyebabkan kaki kirinya patah. — Bernama


























