KUALA NERUS – Naib Presiden PAS Salahuddin Ayob mengucapkan syabas dan tahniah kepada Badan Perhubungan negeri Terengganu yang mengambil tanggungjawab membantu Pasukan Pengurusan Bencana dan Kecemasan Malaysia (Malaysia Emergency Disaster Management – MEDM) dalam menangani bencana banjir di negeri Terengganu.
Beliau berharap pasukan MEDM akan menjadi agensi pilihan (alternatif) kepada rakyat seluruh negara, ketika menghadapi situasi kecemasan dan bencana, seperti yang sedang dihadapi oleh beberapa negeri sekarang.
“Alhamdulillah, saya telah mengadakan mesyuarat MEDM saya rasa Terengganu adalah negeri pertama (berlaku banjir), saya mengucapkan syabas dan tahniah khususnya kepada Perhubungan PAS negeri Terengganu,
“yang saya kira telah mengambil satu tanggungjawab yang cukup membanggakan bagi menghadapi gelombang satu (banjir) dan kemungkinan berlaku gelombang kedua,”ujarnya.
Beliau yang juga Pengerusi MEDM Pusat, berkata demikian pada sidang media ketika berkunjung ke Bilik Gerakan Banjir Terengganu, sempena lawatannya pada Ahad 23 November.
Turut sama dalam sidang tersebut adalah Pesuruhjaya PAS Terengganu Ustaz Satiful Bahri Mamat, Timbalan Pengarah MEDM Zon Timur Haji Zulkifli Mad Yakim, Timbalan Pengerusi Yayasan Amal Malaysia Jamuliddin Elias, Ahli arlimen Kuala Terengganu Datuk Raja Kamarubahrin Shah dan Pengarah Operasi Banjir PAS Terengganu, Dr Azman Ibrahim.
Salahuddin berkata, MEDM akan menyelaraskan semua kekuatan yang ada dalam PAS supaya ia dapat dikendalikan dengan cara yang lebih professional.
“Idea ini (penubuhan MEDM) adalah untuk kita menyelaras semua ‘strength’ (kekuatan) yang ada supaya ia dapat dikendalikan dengan cara yang lebih professional.
“Itu matlamat MEDM itu ditubuhkan(dan) saya juga berbincang dengan rakan-rakan Yayasan Amal, Jabatan Amal, yang secara langsung terlibat dalam operasi bencana ini,”jelasnya.
Oleh itu, pihaknya beriltizam, dengan dana yang terhad dan tenaga kerja yang ada, termasuk Nisa’, Ameerah dan petugas-petugas sukarelawan di kawasan-kawasan Parlimen untuk memperluaskan MEDM ke seluruh tanah air.
Menyorot banjir yang berlaku tahun lalu, Salahuddin berkata, kejayaan pengurusan banjir PAS Terengganu, khususnya di Kemaman telah mendapat pujian dan pengiktirafan pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan seperti polis dan bomba.
Oleh itu, katanya, pihak MEDM akan meneruskan usaha ‘engagement’ (pertautan) dengan pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi kerjasama menghadapi sebarang kemungkinan kecemasan dan bencana dalam negara.
“saya rasa saya juga selepas pada ini akan cuba untuk membuat susunan ‘engagement’ dengan Majlis Keselamatan Negara dan kalau boleh MEDM ini boleh masuk dalam Majlis Keselamatan Negara.
“Kita boleh dapat manfaat dari kerajaan dan kita akan terus membuat kerja-kerja amal (dan) kita akan muncul sebagai altenarif yang lebih baik (kepada rakyat Malaysia,”tegasnya.
Salahuddin, selepas itu telah ‘turun padang’ mengharung air banjir di kawasan perumahan Taman Seri Embun, dekat sini, yang sebahagiannya masih digenangi air.
Selain membantu membersihkan rumah mangsa banjir, beliau diiringi oleh Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Tepoh Ustaz Hishamuddin Abdul Karim turut menyampaikan sumbangan, yang berupa barangan keperluan harian.
http://youtu.be/UI61pzvFCII










