Pengintipan; Malaysia panggil ketua misi AS dan Australia

1020

Malaysia telah memanggil ketua misi Amerika Syarikat dan Australia sebagai membantah terhadap dakwaan pengintipan, kata Menteri Luar Malaysia, Datuk Seri Anifah Aman, semalam.

Datuk Seri Anifah membuat kenyataan itu sedang pertelingkahan mengenai isu pengintipan yang dipimpin Amerika semakin meruncing di Asia.

Beliau berkata pihaknya memanggil ketua misi Amerika dan Australia kelmarin untuk “menyerahkan nota bantahan sebagai respons kepada dakwaan berlakunya kegiatan pengintipan yang dilaksanakan kedua-dua kedutaan itu di Kuala Lumpur”.

Dalam kenyataannya, Datuk Seri Anifah berkata kedutaan Amerika diwakili ketua timbalan misi, Encik Lee McClenny, kerana duta besar Amerika ke Malaysia, Encik Joseph Yun, berada di luar negara.

Datuk Seri Anifah tidak memberikan butiran tentang apa yang berlaku semasa pertemuan itu.

Kelmarin, Menteri Luar itu juga bertemu rakan sejawatannya dari Australia, Cik Julie Bishop, di samping satu mesyuarat serantau di Perth.

Datuk Seri Anifah melahirkan “keprihatinan mendalam tentang laporan sedemikian (berhubung dakwaan kegiatan mengintip Australia) yang menimbulkan kemarahan rakyat Malaysia.

“Beliau kemudian menyatakan bahawa kegiatan sedemikian tidak dilakukan antara teman rapat kerana ia mungkin merosakkan dengan teruk hubungan sedia ada,” jelas satu kenyataan.

Kenyataan itu menambah kededua menteri akan bekerjasama “bagi menangani keadaan itu dan mengelakkannya daripada menjejas hubungan dua hala yang rapat”.

China dan Indonesia sudah pun menuntut penjelasan daripada Australia berhubung laporan yang mendakwa kedutaan dan suruhanjaya Canberra digunakan bagi memantau panggilan telefon dan mengumpul data sebagai sebahagian program risikan Amerika.

Pertelingkahan tercetus minggu ini menyusuli laporan dalam akhbar Sydney Morning Herald mengenai peta rahsia penting yang dibocorkan Encik Edward Snowden, bekas kontraktor risik Amerika yang kini menjadi pelarian.

Peta itu menunjukkan 90 kemudahan pemantauan Amerika dalam misi diplomatik sedunia, termasuk Kemboja, China, Indonesia, Malaysia, Myanmar dan Thailand.

Namun, negara Asia Tenggara lain yang disebut dalam laporan Sydney Morning Herald itu tidak memberikan reaksi lantang dengan Thailand dan Kemboja, dan Myanmar cuba tidak memperbesarkan isu itu.

Laporan meluas tentang kegiatan pengintipan Agensi Keselamatan Nasional (NSA) Amerika berdasarkan maklumat yang dibocorkan Encik Snowden, termasuk kegiatan memantau telefon Canselor Jerman, Cik Angela Merkel, sudah pun mencetuskan perselisihan rentas Atlantik. – AFP.