Penentang Ghaddafi kuasai semula bandar minyak

651

Kumpulan penentang bersenjata Muamar Ghaddafi dapat menguasai semula bandar minyak Ajdabiya yang strategik semalam.

Ini menandakan kemenangan mereka yang pertama ke atas pasukan Kolonel Muammar Gaddafi sejak serangan-serangan tentera campuran bermula seminggu lalu.

Pihak penentang yang disokong pengeboman bertubi-tubi oleh pihak Barat, telah menyerbu bandar itu dan meninggalkan kereta-kereta kebal serta kenderaan tentera yang rosak tersadai di sepanjang jalan, kata wartawan di kawasan itu.

Mayat sekurang-kurangnya dua askar pro-Gaddafi ditemui bergelimpangan dikelilingi beberapa orang yang merakamkan gambar. Kelihatan juga bekas serangan meriam ke atas sebuah masjid dan beberapa buah rumah.

Para penentang meraikan kemenangan itu sambil melaungkan ‘Allah lebih kuat.’ Sebelum itu, askar-askar pro-Gaddafi telah memasuki kawasan tersebut setelah berpatah balik dari jalan raya menuju Benghazi ekoran serangan-serangan tentera campuran yang pertama.

Mereka telah dituduh berlaku kejam terhadap para penduduk. Seorang penduduk, Encik Ibrahim Saleh, 34 tahun, memberitahu ‘Kereta-kereta kebal itu tidak henti-henti menembak ke arah rumah-rumah di sini. Saya tidak dapat keluar rumah selama beberapa hari. ‘Tidak ada air, bahan api atau talian telefon. Apabila penduduk keluar untuk mendapatkan minyak kenderaan, mereka ditembak.

‘Serangan tentera campuran berlaku semalam dan hari ini (kelmarin dan semalam). Mereka menyerang dari udara dan pasukan revolusi tiba kemudian dan membebaskan bandar ini,’ katanya.

Ajdabiya m erupakan bandar pertama yang jatuh semula ke tangan pemberontak sejak tentera gabungan Barat melancarkan serangan udara yang disokong oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 19 Mac lalu, untuk menghalang pasukan Gaddafi daripada menyerang orang awam.

Di tempat lain, beberapa letupan kuat menggegarkan satu pangkalan tentera di sebuahkawasan pinggir bandar timur Tripoli awal semalam apabila pasukan Barat meningkatkan tekanan ke atas Encik Gaddafi dengan tembakan bertubi-tubi dari udara. — AFP.