Penduduk Dungun Kembali Berada Di PPS

339

DUNGUN- Penduduk di Hulu Dungun telah kembali berada di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) setelah kawasan berkenaan banjir bermula petang semalam.

Pengarah Majlis Tindakan Dewan Undangan Negeri (MTD) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman berkata ekoran bencana kali ketiga berkenaan, tiga pusat pemindahan telah dibuka.

“Iaitu melibatkan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Pasir Raja menempatkan 36 buah keluarga dengan jumlah mangsa seramai 96 orang , manakala bagi PPS Kampung Shukor pula 21 buah keluarga dengan 80 jumlah mangsa.

“Serta Dewan Orang Ramai Kampung Minda pula menempatkan tiga buah keluarga dengan jumlah mangsa 19 mangsa menjadikan jumlah keseluruhan seramai 60 keluarga dan 195 jumlah mangsa,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi pihak media disini, pada Isnin, 4 Januari.

Katanya, bencana berkenaan telah dapat ditangani dengan baik.

“Ini kerana Jawatankuasa Khidmat Malaysia sentiasa mengambil langkah bersiap siaga kerana menyedari masih berada didalam tempoh musim tengkujuh.

“Dengan kerjasama Jawatankuasa Pembangunan Komuniti Kampung (JPKK) semuanya dapat diuruskan dengan baik dan penduduk juga telah pun bersedia mematuhi setiap arahan yang telah dikeluarkan sekiranya hujan lebat berterusan mengakibatkan aras sungai naik maka perlu bersiap sedia untuk berpindah,” ujarnya.

Beliau menambah, beliau juga turut turun menyantuni kesemua mereka yang berada di PPS dan telah membekalkan sedikit bekalan makanan berupa bahan mentah.

Sementara itu, tiga Pusat Pemindahan Sementara (PPS) telah dibuka di Dewan Undangan Negeri(DUN) Bukit Besi yang memasuki fasa keempat banjir di Dungun manakala fasa kelima di Terengganu.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia(APM) Dungun, Ahmad Kamal Hakim Ngah berkata PPS yang telah dibuka ialah PPS Dewan Orang Ramai Kampung Minda, PPS Dewan Serbaguna Kg Shukor dan PPS Dewan Orang Ramai Kg Pasir Raja.

“60 keluarga telah ditempatkan dengan jumlah seramai 195 orang mangsa banjir,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan
agar orang ramai menjaga dan mengawasi anak-anak supaya tidak bermain banjir ini kerana jika lalai akan mengundang maut.

“Dalam keadaan pendemik Covid-19 serta fasa banjir ini supaya setiap orang ramai mnjaga jarak serta kebersihan bagi mengelakkan jangkitan Covid-19 dan sentiasa memakai pelitup muka,” ujarnya.