Baru-baru ini heboh melalui media sosial berkenaan operasi bauksit yang giat dijalankan di Kuantan/Gebeng yang sekaligus memberi impak kepada pencemaran alam sekitar. Walaupun pencemaran ini hampir 2 tahun telah berlaku, namun keadaan yang semakin dahsyat mendesak rakyat Pahang membuat bantahan di media-media sosial.
Terbaru, aktiviti ini dilihat merebak ke daerah Kemaman. Kerisauan pencemaran alam yang sebelum ini dirasai rakyat di Kuantan kini mengganggu rakyat-rakyat di selatan Terengganu melalui operasi yang dijalankan.


Merujuk kepada kes di Kuantan, DPPNT khuatir terhadap kesan jangka panjang daripada aktiviti pengangkutan yang berterusan tanpa kawalan ini. Pencemaran akan berlaku di dalam bandar dan sekaligus menjejaskan kesihatan rakyat Terengganu khususnya yang berada di sekitar Kemaman. Langkah pencegahan awal perlu dilakukan bagi membendung aktiviti ini dari terus berleluasa. Tambahan pula, penggunaan lori-lori di dalam kawasan bandar akan turut merosakkan infrastruktur sedia ada.
Persoalannya, apakah pihak berwajib seperti Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) dan Jabatan Alam Sekitar (DOE) tidak dimaklumkan berkenaan hal ini? Tidakkah pihak berkuasa tidak tahu tentang kegiatan ini dan impaknya terhadap alam sekitar?

Tragedi banjir besar yang melanda Kemaman pada tahun 2013 sudah cukup memberi pengajaran kepada semua pihak bahawa aktiviti penarahan bukit khususnya di hulu (upstream) memberi kesan yang teruk terhadap alam sekitar.
Justeru, DPPNT menggesa pihak yang berwajib memainkan peranan untuk tidak membenarkan lori-lori ini sewenang-wenangnya beroperasi di dalam negeri Terengganu tanpa kawalan yang rapi.
DPPNT tidak akan teragak-agak untuk bertindak dalam meneruskan siri bantahan secara lebih agresif dalam usaha menanggani kes ini jika pihak PBT terus mendiamkan diri tanpa sebarang tindakan untuk menanggani kes ini.
Sekian, terima kasih.
“Mempersiap Generasi Kemenangan”
Yang benar,
YB Hishamuddin Abdul Karim
Timbalan Ketua DPPNT
9 Julai 2015



























