Pemuda Sokong Tindakan Kerajaan, Saran Penambahbaikan Isu Tarif Air

76

KUALA TERENGGANU– Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu (DPPNT) sokong langkah kerajaan negeri saran Syarikat Air Terengganu (SATU) menilai semula isu pelarasan tarif air oleh susulan rintihan rakyat.

Ketua DPPNT, Ustaz Muhamad Hamdi bin Dato’ Harun berkata, Pemuda faham, pelarasan tersebut dibuat berikutan keputusan jemaah menteri Pusat, peningkatan kos operasi dan keperluan membaik pulih paip rosak serta kesinambungan perkhidmatan bekalan air berkualiti.

Namun begitu, beliau menegaskan pendekatan seimbang perlu dilaksanakan supaya rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah, tidak terbeban.

“Kami mencadangkan beberapa inisiatif antaranya tarif bersasar dan bantuan khas kepada keluarga B40 dan golongan asnaf agar mereka tidak terkesan secara langsung” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Cadangan lain, tambah beliau, SATU disaran mengadakan sesi penjelasan secara terbuka dan telus kepada rakyat mengenai keperluan pelarasan serta hala tuju peningkatan kualiti perkhidmatan.

Selain itu, kata Hamdi, audit menyeluruh terhadap paip usang dan sistem bekalan juga perlu dilakukan segera bagi mengurangkan kebocoran yang menambah kos operasi.

“Kerajaan bersama SATU juga boleh melaksanakan kempen kesedaran penjimatan air di sekolah, masjid serta komuniti melalui modul pendidikan dan insentif.

“Penubuhan Tabung Kebajikan Air Terengganu juga boleh dipertimbangkan bagi membantu rakyat yang berhadapan tunggakan bil atau kes kecemasan dengan kerjasama pihak zakat, NGO serta syarikat korporat,” jelas beliau.

Menurut beliau, langkah-langkah itu bukan sahaja membantu rakyat menghadapi tekanan ekonomi, malah mampu memperkukuhkan kepercayaan mereka terhadap keprihatinan kerajaan negeri terhadap kebajikan rakyat.