Pemuda PAS Tempelak Pemuda Umno Pahang Kelirukan Rakyat

107

KUALA TERENGGANU – Pemuda PAS menempelak kenyataan Ketua Pemuda Umno Pahang yang cuba memesongkan fakta berkaitan hasil negeri Terengganu, sedangkan isu pokok ialah kezaliman Kerajaan Madani terhadap rakyat negeri ini.

Pengarah Pilihan Raya Dewan Pemuda PAS Malaysia, YB Dr Tengku Muhammad Fakhruddin berkata, prinsip keadilan dalam pentadbiran tidak boleh diketepikan, lebih-lebih lagi apabila negeri seperti Terengganu dikurniakan hasil petroleum yang besar.

“Dalam Islam, prinsip keadilan dalam pentadbiran tidak boleh diketepikan. Kerajaan tidak boleh meletakkan beban kepada rakyat sewenang-wenangnya, apatah lagi apabila negeri itu dikurniakan sumber hasil yang melimpah.

“Terengganu dianugerahkan hasil petroleum yang besar, dan hasil itu sepatutnya menjadi pelindung kepada rakyat, bukan sekadar data dalam kertas bajet. Maka tidak wajar untuk kerajaan negeri membebankan rakyat dengan pelbagai cukai tambahan sedangkan sumber hasil masih ada dan sepatutnya diurus dengan penuh amanah,” katanya.

Beliau berkata, Pahang berada dalam kedudukan berbeza kerana tidak mempunyai sumber petroleum seperti Terengganu, maka usaha menambah hasil melalui cukai atau fi tertentu boleh difahami.

“Namun, itu pun mesti dilakukan dengan penuh timbang rasa agar tidak menindas rakyat semata-mata kerana mahu menunjukkan data hasil yang besar di atas kertas,” ujar Timbalan Ketua Penerangan PAS Terengganu itu melalui satu kenyataan, di sini, semalam

Menurutnya, isu sebenar bukan siapa yang lebih banyak hasil tahunan atau lebih cekap mengutip cukai, tetapi penafian hak royalti minyak oleh Kerajaan Madani terhadap negeri Terengganu.

“Isunya ialah kezaliman yang dilakukan oleh Kerajaan Madani pimpinan PMX terhadap rakyat Terengganu apabila hak hasil petroleum negeri dinafikan,” tegasnya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, turut menyelar tindakan pihak tertentu yang cuba mengelirukan rakyat dengan mengira hasil negeri secara “selective” bagi mencipta persepsi negatif terhadap pentadbiran PAS di Terengganu.

“Lebih malang, ada pula pihak yang cuba mengelirukan rakyat dengan cara mengira hasil negeri secara selective. Mereka memisahkan hasil petroleum daripada jumlah hasil keseluruhan negeri, kononnya untuk menunjukkan bahawa Terengganu tidak cekap menjana pendapatan sendiri,” katanya.

Dr Tengku Muhammad menegaskan bahawa dalam sistem kewangan kerajaan, hasil negeri dikira secara menyeluruh merangkumi hasil cukai, bukan cukai, pelaburan, royalti serta Dana Khas Petroleum.

“Tiada ruang untuk kita memisahkan satu komponen hanya kerana mahu mencipta persepsi politik. Itu bukan analisis ekonomi, tetapi propaganda angka yang menipu pengikut sendiri,” ujarnya.

Ketua Pemuda PAS Kawasan Dungun itu menambah, royalti minyak adalah hak rakyat Terengganu yang dijamin undang-undang dan bukan milik mana-mana parti politik.

“Apabila hak ini dinafikan, seluruh sistem ekonomi negeri terjejas, daripada kemampuan membiayai pembangunan sehinggalah kepada kesejahteraan rakyat bawahan,” jelasnya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan supaya mana-mana pihak tidak mengalih perhatian rakyat dengan perbandingan remeh antara negeri.

“Justeru, sebelum kita sibuk menilai siapa lebih hebat antara Pahang atau Terengganu, lebih baik kita menilai keadilan Kerajaan Pusat yang masih menzalimi negeri-negeri pembangkang,” katanya.

Dr Tengku Muhammad turut menegaskan bahawa prinsip keadilan tidak boleh dipilih berdasarkan warna bendera politik.

“Dalam Islam, pemimpin wajib berlaku adil kepada semua, sama ada rakyat di negeri yang mereka menangi, mahupun negeri yang mereka kalah,” katanya.