Pemuda Marang Teruskan Bantuan Naik Taraf Kediaman Penduduk

1227

Oleh : Aziz Hambali

MARANG – Dewan Pemuda PAS Kawasan Marang (DPPKM) meneruskan lagi program Tautan Kasih dalam usaha penambahbaikan rumah-rumah individu yang terpilih mengikut kriteria yang telah ditetapkan.

Ketuanya, Yusuf Abdul Hadi berkata, pemuda PAS menzahirkan rasa prihatin atas nasib penduduk yang kurang berkemampuan melalui Tautan Kasih yang sudah memasuki fasa keempat pada kali ini.

“Hari ini, walaupun dengan masing-masing cuti sempena Hari Malaysia, tapi kami turun mengecat rumah penduduk dalam usaha menyiapkan rumah mereka.

“Aktiviti ini merupakan salah satu daripada aktiviti-aktiviti dalam program Tautan Kasih yang kendalikan oleh Lajnah Kebajikan DPPKM bersama Pertubuhan Kebajikan Sahabat Sejahtera Marang,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas program tersebut, disini, pada hari Isnin, 16 September.

Menurutnya, melalui program tersebut, tiga buah rumah telah berjaya dibaik pulih bagi fasa pertama iaitu di Kg. Rusila (DUN Rhu Rendang), Kg Undang (DUN Bukit Payong) dan di Kg Belukar Sukai (DUN Alor Limbat) serta sebuah rumah lagi yang dijalankan kali ini di DUN Pengkalan Berangan.

Manakala fasa kedua pula, adalah Projek Bina Tandas yang telah siap dibina di Kg Sentul Patah dan untuk tiga  DUN lagi akan menyusul.

“Dewan Pemuda PAS Kawasan Marang cuba mengambil tanggungjawab untuk bersama-sama Kerajaan Negeri Terengganu bagi menjaga kebajikan rakyat seterusnya menyejahterakan kehidupan rakyat mengikut kemampuan yang kami ada,” jelasnya.

Turut hadir sama ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong dan wakil-wakil DPPKM serta Sahabat Care Marang.