Pemuda Marang Perkemas Jentera Dengan Usrah

1164

Oleh :  Aziz Hambali

MARANG – Dewan Pemuda PAS Kawasan Marang (DPPKM) senantiasa optimis dalam usaha membangunkan agenda tarbiyah ahli, khususnya melalui medan usrah.

Ketua Lajnah Tarbiah Dewan Pemuda PAS Kawasan Marang, Muhammad Irsyad Syafiq Burhanuddin berkata, usrah merupakan tunjang kepada tarbiyah setiap ahli PAS sebab itu penting bagi pemuda mempunyai penyelarasan manhaj usrah yang terbaik.

“Oleh hal demikian, Pemuda Kawasan Marang menyambut baik seruan PAS Pusat untuk menggunakan silibus usrah yg telah ditetapkan oleh pihak PAS Pusat sendiri.

“Malahan, kami juga komited dalam menyebarluaskan lagi silibus ini hingga ke akar umbi bukan sahaja berlegar di peringkat usrah pemuda kawasan, tetapi juga peringkat pemuda dun dan cawangan.” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam sesi pelancaran buku Manhaj Usrah PAS sebagai silibus usrah DPPKM

Sementara itu, kata beliau, usrah diadakan secara berkala setiap sebulan diketuai PAS Kawasan Marang Wan Ahmad Zuki Wan Ismail sebagai naqib usrah.

Turut hadir ialah Ketua dan Naib Ketua DPPKM, Yusuf Abdul Hadi dan Aswadi Mohamad.

Menurutnya, antara intipati buku tersebut adalah memberi kefahaman kepada ahli usrah agar mengaplikasikan pendekatan matang dan sejahtera, menuntut pendakwah menahan emosi dan kalis tekanan.

“Manhaj Usrah PAS yang merupakan terbitan Lajnah Tarbiyah dan Perkaderan PAS Pusat telah dilancarkan oleh Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi bin Awang,

“Pada 11 Ogos 2019 bertempat di Dewan Dato’ Hj Fadhil Mohd Noor, Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM), Batu Caves Selangor,” tambahnya.