Pemuda Besut Tawar Khidmat Pengangkutan

422

Oleh : Muhammad Helmi Idrus

BESUT – Dewan Pemuda PAS Kawasan Besut menawarkan khidmat percuma bagi mengangkut bekas pesakit Covid-19 yang telah tamat tempoh kuarantin mereka dari Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC).

Ketuanya, Hakim Zulfikri berkata, kemudahan ini dibuat sejak awal bulan Jun lagi dan ia sedikit sebanyak dapat membantu golongan yang memerlukan.

“Empat buah van bagi setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) di dalam Daerah Besut disediakan untuk khidmat bakti ini meliputi DUN Kuala Besut, Kota Putera, Jerteh dan Hulu Besut.

“Pemandu van dan pembantunya dikehendaki sentiasa memakai kelengkapan perlindungan diri (PPE) setiap kali penghantaran.

“Dan van akan disanitasi bagi memastikan keselamatan pemandu dan penumpang,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ditemui pihak media selepas selesai menghantar bekas pesakit Covid -19, pada semalam.

Turut bersama turun padang ialah Setiausaha Pemuda Besut, Syazani Abd Razak dan Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) Che Mohd Ridhwan.

Sementara itu,Yang Dipertua PAS Kawasan Besut, Ustaz Wan Azhar Wan Ahmad, beliau berharap agar semua pihak mengambil cakna dan mendaftarkan diri pengambilan vaksin.

“Sekurang-kurangnya dengan pengambilan vaksin ini dapat mengurangkan risiko yang lebih teruk jika berlaku jangkitan Covid-19.

“Jadi marilah sama-sama kita mendaftakan diri, mudah-mudahan dengan usaha ini kita dapat kembali menjalankan kehidupan seperti biasa,” ujarnya.

Katanya lagi, vaksin telah diperbincangkan di pelbagai peringkat termasuk oleh Majlis Fatwa Kebangsaan dari sudut hukum.

“Jangan kita terpengaruh dengan sebaran-sebaran yang berniat untuk merosakkan program vaksinasi ini,” tambah Ustaz Azhar.

Menurutnya,kes baru Covid-19 di kawasan ini semakin menurun. Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia pada 23 Jun hanya sembilan dan manakala pada hari ini hanya lapan sahaja kes jangkitan baru.

“Saya harap semua penduduk di Besut ini dapat mengekalkan khabar baik ini,” ujarnya.

Justeru itu, beliau menambah, mana-mana individu atau keluarga yang ingin menggunakan perkhidmatan tersebut boleh hubungi penyelia (PIC) DUN seperti berikut, Kuala Besut (Hafizi), 013-932 5030, Kota Putera (Ridhwan) 013-912 1717, Jerteh (Afiq) 019-950 9485 dan Hulu Besut (Redhuan) 014-522 7223.