Oleh : Abdul Aziz Ismail
DUNGUN – PAS Terengganu yakin Presidennya, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang tidak akan dicabar oleh sesiapa dalam pemilihan parti itu Jun depan.
Pesuruhjaya PAS Terengganu, Ustaz Satiful Bahri Mamat yakin, tiada pemimpin yang sesuai menggantikan Ustaz Abdul Hadi buat masa ini berdasarkan kewibawaannya selaku pemimpin gerakan Islam bukan sahaja dalam negara, malah di peringkat antarabangsa.


“Presiden perlu memimpin ulama, aktivis dan sebagainya yang memerlukan ulama yang berkarliber,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Anugerah Kecemerlangan SPM di dewan Sekolah Menengah Islam Darul Bayan, Paka, dekat sini, pada Rabu 4 Mac.
Sehubungan itu, beliau menegaskan, sebagai sebuah parti politik dan gerakan Islam, PAS memerlukan seorang pemimpin yang benar-benar layak.
Beliau berkata, sekiranya, kalau ada mana-mana individu dalam PAS yang mahu mencabar Ustaz Hadi, beliau mestilah setanding atau lebih baik berbanding Presiden PAS itu.


“Kalau boleh cari ganti, siapa? Kalau dia tiada, lainlah. Sekarang ini dia masih ada dan kita di Terengganu beri sokongan penuh terhadap kepimpinan beliau,” katanya.
Sebelum itu, dalam ucapannya di majlis tersebut, ADUN Paka itu melahirkan rasa bangga kerana sekolah aliran Islam dapat bersaing dengan sekolah-sekolah menengah lain.
Beliau mengucapkan tahniah kepada pihak Sekolah Menengah Darul Bayan yang mendapat tempat ketujuh daripada 24 buah sekolah di daerah Dungun.
Oleh itu, beliau berharap semua pihak yang mendokong pendidikan Islam dapat mengingkat usaha agar menjadi lebih cemerlerlang dimasa akan datang.



























