KUALA TERENGGANU – PAS Terenggganu menjunjung kasih dan mengucapkan ‘jazakumullah’ ke bawah Duli Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin yang berkenan menyempurnakan Istiadat Pembukaan Penggal Persidangan Kelima, Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-13.
Pesuruhjayanya YB Ustaz Satiful Bahri Mamat berkata, persidangan yang bermula semalam itu mungkin merupakan sidang yang terakhir sebelum pilihan raya umum kali ke-14.
“dua hari tempoh perbahasan…….kami dari Yang Berhormat ADUN (PAS) di Terengganu ini insyaAllah akan cuba membahas ucapan tuanku sultan dalam perbahasan esok serta lusa sebelum berlaku pergulungan di hari terakhir,
“Secara keseluruhan (titah tuanku itu) kita melihat perkembangan ekonomi pembangunan dan persekitaran negeri Terengganu amat lembap dengan alasan kerana kelembapan ekonomi dunia dengan alasan kejatuhan harga minyak dunia,” ujarnya.


Apa pun, kata beliau, PAS berharap negeri Terengganu dapat memanfaat sumbernya yang tersendiri yang mempunyai sumber yang tidak dimiliki oleh negeri-negeri lain, termasuk royalti minyak dan gas.
Beliau menggesa kerajaan negeri terus menuntut hak yang merupakan milik negeri Terengganu itu.
“kita mendesak kerajaan pusat supaya meningkatkan kadarnya daripada lima peratus kepada 20 peratus (kerana) mengikut syariat Islam ‘humus’ yang dianggap sebagai satu per lima daripada harta ,


“sebab ia adalah sumber penting kepada kerajaan Terengganu dan suasana ekonomi yang ada,” tegasnya.
Dalam masa yang sama juga, beliau juga berharap kerajaan negeri dapat menggembleng sumber-sumber lain yang terlalu banyak.
“Terengganu mempunyai banyak sumber lain seperti pertanian, pelancongan, pantai dan sebagainya, yang perlu digemblengkan untuk mencapai kejayaan,
“bukan hanya dalam pembangunan fizikal tetapi juga khususnya melibatkan pendidikan, kesihatan dan sebagainya,” jelasnya.


“pembangunan insan yang mungkin agak terabai……….jadi, kita melihat pada hari ini suasana bagaimana permasalahan sosial makin hari makin parah,
“masalah penzinaan, masalah minuman keras, masalah penggunaan dadah dan sebagainya,” katanya lagi.
Justeru, kerajaan negeri perlu mengambil cakna dalam menyelesaikan perkara tersebut bukan hanya jangka jangka pendek, bahkan perlu tindakan jangka panjang.





























