Pembinaan Pondok Warga Emas Perlu Sumbangan

5992

Oleh: Shahril Aswad

HULU TERENGGANU – Pengurusan Madrasah Darul Tauhid, Kampung Mesah, Kuala Telemong di sini memerlukan sumbangan orang ramai dalam projek pembangunan pondok untuk warga emas.

Mudirnya, Ustaz Haji Sufian Abdullah berkata, perancangan membina pondik baharu itu adalah usaha memberi kemudahan untuk warga emas untuk mendalami ilmu agama.

Menurutnya, maahad tersebut mula beroperasi Ramadhan tahun lalu di sebuah masjid lama yang diwakafkan untuk dijadikan pusat ilmu.

“Buat masa ini kami baru siap membina lapan buah pondok hasil infak orang ramai dan kini digunakan untuk penempatan pelajar dan pengajar.

“Jadi kami harap orang ramai dapat bantu salurkan dana bagi membolehkan beberapa buah lagi pondok dapat diwujudkan serta mampu menempatkan lebih banyak penginapan di madrasah ini,” katanya di Majlis Hi-tea perlancaran pembinaan pondok warga emas di sini, semalam.

Beliau berkata, pusat tahfiz itu bergantung sepenuhnya kepada kewangan pengurusan madrasah sendiri dan juga sumbangan orang ramai untuk pengurusannya.

Tambahnya, pihak pengurusan membelanjakan jumlah yang banyak setiap bulan bagi memastikan kelancaran madrasah termasuk pembayaran saguhati kepada lima tenaga pengajar tetap selain bil semasa serta keperluan asas pelajar.

“Sehingga kini maahad tahfiz ini mendapat sokongan daripada pelbagai pihak khususnya orang ramai, agensi swasta dan pemimpin setempat.

Menurutnya. permintaan daripada orang ramai dari sekitar daerah ini untuk pengajian warga emas amat tinggi namun kekangan dari segi penginapan menyebabkan pihak pengurusan terpaksa mengehadkan pengambilan,” katanya.

Turut hadir pada majlis tersebut Ustaz Sukiman Taha Ketua Urusan Ulama PAS Kawasan Hulu Terengganu, wakil-wakil dari PAS Kawasan Hulu Terengganu dan wakil dari Majlis Tindakan Dun Telemong.