Oleh: Dr Riduan Mohd Nor
Sungai Mekong mengalir lesu dengan sejuta rahsia yang digengam erat, dasarnya adalah kelodak jiwa manusia yang bersengketa. Sungai ini memuarai Bandar Pnomp Penh yang sentiasa sibuk dengan manusia, bertali arus dengan motorsikal buruk yang menampung manusia berjejeran di jalanan, sesak dengan debu-debu jalan yang menyakitkan mata, juga memeritkan halkum. Kota ini menjadi saksimata kekejaman regim Pol Pot menyembelih umat Islam sehingga mencecah jutaan manusia, kegilaan regim komunis ini telah membekaskan perit yang tajam serta api dendam yang sentiasa dibumbui sepanjang hayat kepada mangsa.
Negara ini kadar jenayahnya cukup tinggi seakan Amerika Latin, senjata api masih didagang dengan bebas maka rompakan bersenjata agak lumayan menjadi bahan berita. “Wah, ngeri juga, ala-ala bandar koboi ni…” saya cuba berlucu sendirian, teringat cerita koboi yang merompak bank dalam filem Hollywood.
Malik sentiasa bercerita tentang ketenangan Kemboja atau Kampuchea yang sentiasa dikocak dengan berita jenayah, samun senjata api, rogol, pembunuhan dan korupsi gotong-royong. Tidak pelik kerana papan iklan gergasi di kota kumuh itu sering bersaing dengan iklan jenama arak, diselang dengan iklan rokok yang pelbagai. Menjadi pemimpin di sini memerlukan wang yang banyak untuk membiayai pengikut dan pengawal bersenjata. Kota kumuh ini dilatari dengan perempuan jalanan yang menjual ‘sekangkang peha’ untuk menyuap mulut. Cuma mungkin tidak sehebat kota Bangkok yang menjadikan pelacuran sebagai sumber pendapatan negara. Namun kecenderungannya sama, warga Barat sentiasa memenuhi kota ini dengan beg sandang, berkumpulan dan kelihatan agak comot berdebu.
Kali pertama saya sampai ke negara ini ialah pada tahun 2002, setelah menyimpan keinginan yang lama untuk melihat sendiri kesan pembantaian regim Pol Pat dalam dekad 70-an. Semasa zaman kecil saya di Terengganu, muslim Kemboja berjualan kain kampong ke kampong, termasuk menjual buaian daripada plastik. Mereka sangat rajin membanting tulang empat kerat sehinggalah akhirnya menjadi kaya di ‘suvarnabhumi’ atau bumi emas ini.
Ketika tayar pesawat tambang murah mendarat di lapangan terbang antarabangsa Pnomh Penh, hati saya terasa terusik kerana Allah telah memakbulkan doa untuk memijak kembali bumi bersejarah ini yang hampir sembilan tahun saya tak sambangi. Negara ini pernah berperang dengan Siam dalam tempoh yang lama. Malik memeluk saya di pintu keluar lapangan terbang, wajahnya secerah mentari pagi, tanpa ketayap dan jubah lusuh yang lazim dipakai jika berada di Malaysia.
“Ni musim panas ustaz, cuaca berdebu..sebelum ni banjir” cerita Malik tanpa disuruh apabila saya menutup hidung cuba menahan debu-debu jalan yang menerpa wajah di luar bandara baru Pnonh Penh.
Kenderaan sewaan kami berdesut di jalann, hon yang dibingitkan sesuka hati semakin merimaskan namun ianya hiburan sang pemandu.
Pelbagai manfaat dapat ditebarkan kepada masyarakat muslim Kemboja dengan program korban perdana ini, di antaranya ialah:
2. Memberikan masyarakat Muslim Kemboja, sumber protein yang berkesan. Mereka terpuruk dalam lingkaran ganas kemiskinan yang berakar hampir seabad yang lalu. Pemencilan terhadap masyarakat Muslim minoriti kemboja
Daging korban dan lembu yang disembelih telah dimanfaatkan sepenuhnya oleh masyarakat. Golongan susah sangat teruja, kadang-kadang mereka datang beratus kilometer dengan van ‘pick up’ untuk mengambil daging korban, bahkan mereka datang sehari lebih awal sebelum majlis korban diadakan. Ustaz Fauzi Husain, yang ditugaskan menyembelih daging korban sebelum ini sentiasa bercerita tentang kesungguhan golongan susah ini mendapatkan daging korban.
Mereka melahap senikmatnya daging gulai yang dimasak kepada mereka, saya mempunyai kenangan kolektif yang cukup syahdu apabila melihat orang miskin Kemboja makan. Pinggan mereka tidak tersisa, mereka menghirup mangkuk kuah gulai dengan penuh nikmat, makan dengan penuh ceria. Teringat juga dalam satu majlis pembahagian beras kepada fakir miskin, beberapa orang kanak-kanak mengutip beras yang tumpah, mereka tidak membiarkan beras tumpah kerana menghargai pemberian dan bersyukur dengan rezeki dari Allah. Berbeza dengan sikap kita di Malaysia yang sentiasa membazir makanan dan berlebihan makan.
Muslim Care selain mengadakan korban di Kemboja, telah menyempurnakan korban perdana di tujuh negara lain. Peta luka ummat ini seperti di Palestin, Syria, Sri Langka, Vietnam ,Indonesia, Poland untuk pelarian Chechen ,juga dimerata tempat tanahair kita.
(Penulis adalah Pengarah Penerangan Muslim Care Malaysia