Pemandu Mabuk ; Haramkan Penjualan Arak Secara Terbuka

5446

Insiden seorang wanita maut dan suaminya parah akibat dirempuh pemandu mabuk kelmarin bukanlah yang pertama kali berlaku dan tidak sepatutnya berulang jika Kerajaan melaksanakan inisiatif yang betul.

2. Sebelum ini telah banyak kali Kerajaan didesak supaya meminda Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang hanya memperuntukkan hukuman penjara antara 3 hingga 10 tahun dan denda antara RM8,000 hingga RM20,000 sahaja bagi kes seperti ini.

3. Sedangkan buruknya arak ini Islam tidak setakat mengharamkan meminumnya bahkan memerintahkan supaya menjauhinya. Lebih daripada itu, 10 golongan yang mempunyai kaitan dengan arak turut dilaknat oleh Allah s.w.t. Justeru, Islam menetapkan hukuman 40 hingga 80 kali sebatan syarie bagi kesalahan meminum arak.

4. Saya sejak 2015 juga telah menggesa Kerajaan supaya mengharamkan penjualan arak secara terbuka terutamanya di pasaraya dan kedai runcit seperti 99 Speedmart, 7 Eleven dan KK Super Mart yang mempunyai rangkaian di seluruh negera.

5. Larangan penjualan arak secara terbuka ini bukanlah bermaksud menyekat hak orang bukan Islam untuk meminum arak tetapi bertujuan memelihara kepentingan masyarakat yang lebih utama berbanding hak individu. Justeru, langkah pengawalan seperti larangan ini adalah amat penting. Pendekatan Singapura yang mengenakan denda bagi kesalahan menjual dan meminum arak dalam waktu larangan di tempat awam wajar dicontohi.

6. Jika Kerajaan bersungguh tidak mahu kejadian seumpama ini berlaku lagi, sewajarnya Kerajaan bertindak segera melaksanakan dua (2) inisiatif ini.

Sekian.

DATO’ DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI
Ahli Parlimen Kuala Nerus_

*