Pelantikan Timbalan Pengerusi PN Ditentukan Oleh Wakil Parti Komponen

166

KUALA TERENGGANU – Perikatan Nasional (PN) menetapkan bahawa pelantikan jawatan Timbalan Pengerusi dalam Majlis Pimpinan Tertinggi gabungan itu ditentukan secara terus oleh setiap parti komponen.

Langkah ini bertujuan memastikan setiap parti mempunyai wakil yang adil dalam barisan kepimpinan tertinggi PN.

Pengerusi PN, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, struktur pentadbiran gabungan berkenaan memang memberi ruang kepada wakil daripada setiap parti untuk mengisi jawatan tersebut, kecuali bagi jawatan pengerusi yang mengetuai keseluruhan gabungan.

“Bagi pihak Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), parti itu telah menamakan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai wakil, sekali gus memegang jawatan Timbalan Pengerusi PN.

“Bagi Parti Islam Se-Malaysia (PAS) pula, Presidennya, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang tidak berada dalam Majlis Pimpinan Tertinggi, tetapi sebaliknya duduk dalam Majlis Presiden PN. Oleh itu, beliau telah menamakan Timbalannya, Dato’ Seri Tuan Ibrahim Tuan Man sebagai wakil parti untuk mengisi jawatan Timbalan Pengerusi dalam gabungan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Apresiasi dan Iftar Perdana Persatuan Mahasiswa Anak Terengganu (PERMATA) Kebangsaan Tahun 2026 di Duyong Marina Resort, di sini hari ini.

Penjelasan itu dibuat bagi mengulas pengumuman terbuka Abdul Hadi mengenai kedudukan Tuan Ibrahim semasa Majlis Sambutan Nuzul Quran 1447H di Kota Sarang Semut, Kedah, Sabtu lalu.

Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu menjelaskan, parti komponen lain seperti Parti Gerakan Rakyat Malaysia (GERAKAN) dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) turut mempunyai wakil masing-masing. Beliau menambah, kebiasaannya presiden parti tersebut yang akan dilantik memegang jawatan Timbalan Pengerusi.