Oleh : Haida Al-Ansariyyah
KUALA NERUS – Berpegang pada motto ‘Beramal Kerana Allah’ dan tema ‘Fastabiqul Khairat’ iaitu berlumba-lumba melakukan kebaikan, Yayasan Amal Malaysia cawangan Terengganu (YAMCT) melancarkan kelab Sukarelawan Amal (Relawan Amal)
Menurut Pengerusi YAMCT, Dr Suhazeli bin Abdullah pelancaran Relawan Amal akan melestarikan dinamika kebajikan dengan para ahli yang mendaftar dapat menyumbang semaksima mungkin kepada kebajikan dan kemanusiaan sejagat.
Katanya, objektif penubuhan kelab tersebut adalah mengajak masyarakat serami mungkin untuk turut sama memberi khidmat bersama Yayasan Amal, pada program mendatang yang bakal dilaksanakan.


“Kami ingin masyarakat umum tahu bahawa mereka boleh menyumbang dalam bentuk amal kebajikan ini bersama-sama Yayasan Amal,” kata beliau ketika merasmikan pelancaran tersebut, bersekali dengan Majlis Jamuan Hari Raya di perkarangan pejabat YAMCT di Gong Badak dekat sini, pada Sabtu 24 Ogos.
Beliau berkata, keahlian Relawan Amal masih lagi dibuka dan sesiapa yang berminat untuk menyertainya boleh mendaftar secara ‘online’ dengan melayari laman web rasmi Yayasan Amal Terengganu iaitu http:/yamterengganu.blogspot.com atau facebook Amal Terengganu.
Menyingkap sejarah penubuhan Yayasan Amal, Dr Suhazeli berkata pertubuhan bukan kerajaan (NGO) telah ditubuhkan sejak lebih sedekad yang lalu.
Pelbagai misi kebajikan dan kemanusiaan, merentasi sempadan dunia iaitu dalam dan luar Negara, kata beliau, telah dilaksanakan oleh Yayasan Amal.


“tidak ketinggalan program dalam negeri di Terengganu sendiri, pada setiap tahun, program bantuan sumbangan duit raya dan makanan harian kepada anak-anak yatim serta program derma darah dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu,”jelasnya.
Bagi membantu Unit Tabung Darah Hospital Sultanah NurZahirah (HSNZ), beliau menyifatkan usaha YAMCT telah melepasi sasaran apabila berjaya mengumpulkan sumbangan darah sebanyak 700 pint, berbanding jangkaan hanya 600 pint.
“Hasilnya memberikan impak dan sumbangan yang cukup besar kepada HSNZ, apatah lagi pada musim perayaan yang lazimnya berlaku banyak kemalangan jalanraya dan memerlukan bekalan darah yang banyak,”ujarnya yang menambah, kedua-dua program tahunan tersebut telah berterusan sejak enam tahun lalu.
http://youtu.be/7BTlokC_Fis





























