Pegawai Terbabit Rasuah Scorpene DiDedahkan di Mahkamah Perancis

758
http://www.buletinonline.net/images/stories/aberita19/skandal%20scorpene.jpg

Kumpulan Suara Rakyat Malaysia (Suaram) berkata bahawa satu senarai mereka yang menerima wang sogokan daripada Terasasi akan didedahkan tidak lama lagi oleh sebuah mahkamah Perancis.

Terasasi, yang berpangkalan di Hongkong, dimiliki oleh Abdul Razak Baginda, yang pernah dibebaskan pada 2008 daripada tuduhan terbabit dalam kes pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu, di Malaysia.

“Tidak ada seorang pun yang benar-benar tahu peranan yang dimainkan Terasasi, dan bahawa ia dimiliki oleh Abdul Razak Baginda dan bapanya. Sekarang pihak Hongkong sedang bekerjasama dengan mahkamah di Perancis untuk menyenaraikan para penerima wang sogokan itu,” kata Cik Cynthia Gabriel, pengarah Suaram, pada satu sidang akhbar yang penuh sesak, kelmarin.

“Bukan saja wang sogokan dan rasuah, malah ia juga membabitkan penjanaan wang haram. Itu yang sedang disiasat, walaupun kita tidak boleh mendedahkan siapa sebenarnya pihak penyiasat di sana,” tambah beliau.

Sementara itu, seorang peguam, Cik Fadiah Nadwa Fikri, berkata beliau percaya mereka akan mengetahui tentang para penerima wang sogokan itu dalam masa seminggu ini.

Cik Fadiah, yang baru sahaja pulang daripada lawatannya ke Perancis bersama Cik Gabriel, berkata para hakim yang sedang menyiasat dakwaan rasuah dalam urus niaga Scorpene juga berminat menyiasat keadaan yang membabitkan kematian Altantuya.

Altantuya, yang pernah menjadi kekasih Abdul Razak, difahamkan telah membantu bekas pengamat politik itu memperolehi urus niaga Scorpene dengan syarikat kelautan Perancis, DCNS.

Beliau dibunuh selepas didakwa cuba meminta jutaan ringgit sebagai wang bayaran perkhidmatannya, menurut seorang penyiasat peribadi Abdul Razak, mendiang P. Balasubramaniam

Balasubramaniam pernah mengaitkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor, dalam kes pembunuhan Altantuya itu, melalui salah satu akuan bersumpahnya pada 2008.