Laporan itu telah disiapkan oleh Pejabat Penyelaras Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Ocha).
Menurut laporan itu, lagi 4,200 orang terjejas ekoran tindakan pasukan Israel memusnahkan 622 struktur yang dimiliki rakyat Palestin.
Struktur itu termasuk rumah, kandang binatang, bilik darjah dan masjid.
Ini satu peningkatan sebanyak 42 peratus berbanding dengan 2010.
Laporan itu berkata 90 peratus daripada struktur yang dirobohkan terletak di wilayah yang dikenal pasti sebagai ‘Kawasan C’ yang membentuk 60 peratus daripada kawasan Tebing Barat – iaitu Israel masih mengawal keselamatan dan pembinaan.
Sementara itu, sekurang-kurangnya lagi 93,100 penduduk yang menetap di kediaman yang dibina tanpa permit menghadapi risiko kehilangan tempat tinggal.
‘Langkah memaksa keluarga Palestin berpindah dan tindakan merobohkan rumah dan harta benda mereka oleh pasukan Israel di Tebing Barat, termasuk di timur Baitulmakdis, meninggalkan kesan kemanusiaan yang serius,’ kata laporan itu.
Menurut laporan itu, Israel mempunyai tanggungjawab melindungi rakyat Palestin.
Semasa mengadakan lawatan ke wilayah Palestin pada Mei lalu, ketua Ocha, Cik Valerie Amos, menggesa Israel menghentikan dasarnya menghalau keluar rakyat Palestin dan meninjau semula kesan kemanusiaan ekoran tindakan mereka merobohkan kediaman golongan itu di Tebing Barat. — Agensi.



























