PASTI, Sumber Penyumbang Ilmu Islam

174

DUNGUN – Pusat Asuhan Tunas Islam(PASTI) menjadi sumber penyumbang dalam mengekalkan ilmu-ilmu Islam kepada generasi cilik sebagai bekalan di akhirat kelak.

Yang Dipertua Parti Islam Se-Malaysia(PAS) Dungun, Ustaz Wan Hassan Mohd Ramli berkata insya-Allah mereka akan tetap dengan Islam dan perjuangan Islam sehingga ke akhir hayat dan kekal di dalam perjuangan Islam.

“Generasi pertama PASTI sebahagiannya telah berada dalam komuniti menjadi manusia yang berguna dan berfaedah kepada masyarakat,” ujarnya.

Ustaz Wan Hassan berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penutup Sukan PASTI(SUKPA22) Bolasepak dan Bola Jaring Peringkat PASTI Kawasan Dungun di Padang Arena Merdeka di sini pada Sabtu, 25 Jun.

Sebanyak 36 pasukan bolasepak dan 20 pasukan bola jaring yang mewakili PASTI dari seluruh kawasan Dungun telah menyertai kejohanan tahunan itu.


PASTi An-Nur, Tebing Tembah telah merangkul kejuaraan bolasepak dan pelajar dari PASTI berkenaan, Muhammad Qayyum Nazeri Sabri telah dinobatkan sebagai pemain terbaik.

Manakala PASTI Al-Mukmin, Che Lijah berjaya menjadi juara bola jaring dan pemainnya, Nur Atsumi Qaisara Ahmad Shukri terpilih pemain terbaik.

Menurut Ustaz Wan Hassan, manusia dimuliakan dengan ilmu, maka wajib kita menanam ilmu itu pada kanak-kanak dalam awal pertumbuhan.

“Jadi menjadi kewajipan kita untuk menjaga generasi ini supaya tidak terpesong daripada landasan Islam,” katanya lagi.

Turut menghadiri kejohanan berkenaan ialah Pengarah Majlis Tindakan Dewan Undangan Negeri(MTD) Rantau Abang, Cikgu Alias Harun, Pengarah MTD Sura, Cikgu Wan Hapandi Wan Nik, Pengarah MTD Bukit Besi, Ghazali Sulaiman dan Ketua Pemuda PAS Dungun, Ustaz Mohd Fadhli Rahmi Zulkifli.