PASTI Didik Anak Jadi Pejuang Agama

198

Oleh : Amiruddin Zamri

DUNGUN- Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) terbukti mampu mendidik serta mendorong anak-anak dari awal usia, mencintai agama seterusnya mewarisi perjuangkan menegakkan agama Islam yang suci.

Pengarah Majlis Tindakan Dun (MTD) Bukit Besi, Haji Ghazali Sulaiman berkata ini kerana pusat asuhan berkenaan sangat menitik beratkan pendidikan Islam yang sempurna justeru ia menjadi pilihan utama ibu bapa di sini.

“Ini dapat dibuktikan melalui apa yang dipelajari benar-benar mereka praktikkan, seawal usia sudah menguasai banyak doa-doa, sayangkan solat, juga saya dapati mereka sangat gembira jika ajak bersama ke surau mahupun masjid.

“Perkara ini sangat saya amati, apabila saya hadir ke PASTI hari ini apabila bertanya siapa yang berpuasa dan tidak pernah meninggalkannya didapati ada pelajar ini menjalani ibadah puasa sebagaimana mereka yang dewasa.

“Sungguh saya terharu apabila melihat semangat segelintir anak-anak in, malah dalam linkungan umur empat atau lima tahun turut berlatih berpuasa,”ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita, ketika menyantuni anak-anak PASTI dan mengagihkan ‘duit raya’ di seluruh DUN Bukit Besi pada semalam, Rabu.

Jelas Ghazali, apa yang terlahir dari anak-anak PASTI itu merupakan berkat kesungguhan para guru.

“Mereka mendidik anak-anak ini dengan penuh ikhlas, apa yang diajarkan melekat di jiwa anak-anak dengan silibus pendidikan yang sangat berkesan,”katanya.

Beliau turut teruja melihat keletah anak-anak berkenaan ketika disantuni olehnya.

“Ternyata mereka sangat gembira apabila saya berikan mereka duit raya, kerana masanya belum tiba tetapi telah menerimanya.

“Insya Allah saya mendoakan agar anak-anak ini akan menjadi pemimpin Islam yang hebat di masa akan datang,”ujarnya lagi.