PAS Wajar Bincang Dengan Umno?

2003

Oleh KAM

KUALA TERENGGANU: Pandangan peribadi veteran PAS, Dato’ Mustafa Ali adalah wajar bagi PAS mengadakan perbincangan dengan Umno demi menyelamatkan masa depan negara.

Namun, katanya perbincangan yang disarankan itu tidak semestinya PAS akan bersama dengan Umno-Barisan Nasional (BN) atau ‘berUG’.

Menurut beliau, negara kini dilanda dengan pelbagai masalah termasuk korupsi, masalah sosial, dadah, pendidikan dan sebagainya.

“Pandangan saya, PAS wajar menyambut tangan yang dihulurkan oleh Umno. Tetapi, bukan bererti PAS mesti bersama Barisan Nasional dan saya tidak fikir yang (Tan Sri) Annuar Musa hendak ajak PAS masuk Barisan Nasional…dan saya pun tidak setuju. Saya pun akan lawan, saya akan tentang itu.

“Tetapi, bila sebut kerjasama ini untuk hendak membangunkan ini mesti kita… dengan sebab itu dia punya (pemimpin) yang menyebut itu mewakili parti yang memerintah (Umno) pada waktu ini.

“Jadi, parti yang memerintah, yang boleh menentukan polisi negara. Sebab, dalam konteks kita parti menguasai kerajaan itu berlaku negara kita Malaysia ini,” ujarnya ketika merujuk kenyataan Ketua Penerangan Umno Malaysia, Tan Sri Annuar Musa mengenai hubungan parti itu dengan PAS.

Beliau berkata demikian dalam satu Sidang Media Khas di sebuah hotel, Kuala Terengganu, pada 22 Oktober lalu.
Berikutan itu, katanya perbincangan antara PAS-Umno hendaklah dalam konteks ruang lingkup bagi kepentingan masa depan negara ini.

Dato’ Mustafa yang juga bekas Setiuasaha Agung PAS mahukan perbincangan antara kedua-dua parti itu hendaklah tanpa syarat.

“Jika kita bercakap tentang (isu) kerjasama ini macam-macam dia punya istilah. Tahaluf digunakan, Ta’awun digunakan.

“Dalam konteks ruang lingkup Ta’awun itu, saya rasa Umno dengan PAS boleh berbincang untuk kepentingan masa depan negara. Tetapi, (setakat ini) saya tidak nampak ada satu jawapan yang serius daripada pemimpin PAS,” jelasnya.

Ketika ditanya, apakah pentingnya perbincangan PAS-Umno itu diteruskan kata Dato’ Mustafa, pendapat peribadinya perlu bagi kedua-dua pihak memahami kehendak masing-masing.

“Pandangan dan pendirian saya perlu bincang. Waktu hendak bincang yang lepas-lepas jadi tidak berapa (jadi) itu sebab, hendak bincang kena syarat itu, syarat ini…jangan letak syarat.

“Bincang-bincanglah, lepas itu jadi tak jadi soal lain. (yang penting) Bincang dulu. Apa yang sebenarnya supaya PAS boleh memahami perspektif Umno, apa yang Umno (mahu) ajak PAS ini, (untuk) apa?

“Umno pun boleh faham PAS, apa yang PAS mahu. Sebab, pada waktu ini yang mendominasi pengundi Melayu dua parti ini. Umno dengan PAS, tidak ada parti lain.

“Dua ini (PAS-Umno) yang mendominasi dan teras politik negara mesti Melayu. Mesti Melayu menjadi teras kepada politik negara,” tegasnya kepada wakil media.

Menjawab pertanyaan wakil media, apakah cadangan perbincangan PAS-Umno itu akan mendapat tentangan ahli di peringkat akar umbi katanya kedua-dua ahli parti ada yang tidak bersetuju.

“Memang nampak PAS macam tidak berminat tetapi saya menyebut perlu PAS berbuat demikian.

“Saya PAS, Insya’Allah…saya kekal dengan PAS. Saya bercakap ini pun bukan apa, saya PAS. Mungkin ini berbeza dengan pandangan pemimpin PAS tetapi ini pandangan saya.

“Dua-dua (Umno-PAS) itu akan ada penentangan. Umno pun akan ada penentangan, PAS ada penentangan. Dalam politik akan berlaku begitu tetapi bagaimana kita mengurus (penentangan) itu yang penting,” jelasnya.

Menurutnya, sejak tahun 1974 lagi setiap kali ada kerjasama politik akan ada penentangan ke peringkat keluar parti.
Tambah beliau, semasa kerjasama dengan Parti Melayu Semangat 46 pun ada orang PAS yang tidak setuju dan tengok mana yang lebih bermanfaat daripada mudaratnya.