PAS Tidak Pernah ‘Pilih Kasih’

1496

Oleh : Zainun Muhamad

KUALA NERUS – PAS tidak pernah pilih kasih dalam membantu masyarakat yang memerlukan pertolongan tanpa mengira perbezaan fahaman politik.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tunggal, Dr. Alias Razak berkata, PAS akan terus membantu golongan yang memerlukan walaupun mereka dari kalangan penyokong Umno.

Katanya walaupun PAS tidak diberi sebarang peruntukan oleh kerajaan namun, PAS tetap akan berusaha sekadar termampu, bagi membantu meringankan beban mereka yang menghadapi kesukaran terutama di bulan Ramadan.

“Semua duit sumbangan kita dapat daripada orang ramai…..dari para dermawan dan petugas-petugas parti serta mereka yang menyokong PAS,

“yang begitu bermurah hati untuk membantu golongan yang dhoif khususnya di bulan ramadhan al Mubarak ini,” ujar beliau.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas selesai membahagikan sumbangan di sekitar kampung-kampung pada kawasan Daerah Mengundi Pulau-pulau dalam DUN Bukit Tunggal, pada Selasa 13 Jun.

Jelasnya, bantuan yang diberi itu dalam pelbagai bentuk seperti barangan dapur, keperluan harian dan kewangan bagi persiapan menyambut Aidil Fitri yang bakal menjelang.

“kita juga tidak pernah bertanya samada mereka penerima bantuan dari pihak kerajaaan atau pun tidak ….. kita beri atas dasar kelayakannya,

“seusai solat Terawih, kita akan pergi ke rumah-rumah penerima yang telah kita senaraikan bagi menyampaikan sedikit bantuan dan selesai sehingga hampir jam 12 malam,” ujarnya.

“Setiap malam kita turun bersama beberapa orang petugas parti bagi menyempurnakan amanah kita kepada rakyat,

“Sudah beberapa tahun yang lepas program seumpama ini di jalankan yang mana matlamat kita hanya satu iaitu membantu meringankan beban kesusahan yang ditanggung oleh rakyat,” jelas beliau.

Menurutnya, pada satu-satu malam, sahaja sebanyak 20 buah rumah penerima bantuan telah di lawati.

“Alhamdulillah mereka yang kita ziarahi itu menanti kehadiran kita dengan penuh pengharapan walaupun sudah larut malam,

“keikhlasan kita membantu mereka bukanlah atas dasar supaya mereka akan mengundi kita pada pilihan raya akan datang,

“hanya menyempurnakan tanggungjawab yang mereka amanahkan pada pilihanraya yang lalu dan sebagai saudara sesama Islam,

“semoga kita semua diberi kekuatan oleh Allah untuk menunaikan amanah ini,” kata Dr. Alias.