PAS Tetap Pertahankan ‘Status Quo’

185

KUALA NERUS – Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Negeri Terengganu bertegas mengambil sikap akan mempertahankan ‘status quo’ dimiliki bagi terus menerajui negeri ini.

Pesuruhjaya PAS Negeri Terengganu, Dato’ Ustaz Husain Awang berkata, Umno dilihat sengaja mahu mewujudkan pertembungan dengan sikap asyik mengulangi kenyataan mahu bertanding semua kerusi DUN pada PRU15.

“Kita di Peringkat Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu (BPPNT) mengambil sikap kunci mulut tidak menjawab atas isu sama yang dibangkitkan oleh kepimpinan Umno,

“Kita akan tetap mempertahankan apa yang ada dan kita telah capai di peringkat negeri, kita akan tetap mempertahankan 22 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan enam parlimen yang telah kita menangi,” tegasnya.

Beliau berkata demikian Ketika berucap pada program Munaqasyah Ucapan Dasar Presiden PAS Peringkat Negeri Terengganu, di Kompleks Tarbiyah At-Taqwa (KOMTAQ), Batu Enam, pada Sabtu 13 Mac.

Manakala 10 lagi kerusi DUN dan juga dua kerusi parlimen, kata beliau, terserah kepada Umno atau mana parti yang hendak bertanding asalkan tidak bertembung PAS.

“Kita tetap terus ‘istiqamah’ dengan sikap ini, dan telah pun diberi jawapan secara ‘verbal’ dan secara lisan oleh pihak pimpinan dengan memberikan penyataan sikap yang serupa dan sama,” ujarnya.

Menurut beliau, perkara itu juga telah dibawa ke peringkat PAS Pusat serta sentiasa bersedia menghadapi apa jua kemungkinan.

“Samada bertembung lawan, bertemu dua penjuru atau tiga penjuru akan dihadapi dengan persiapan yang rapi dan termampu,” jelasnya.