KUALA TERENGGANU – Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu menyeru seluruh ahli, penyokong dan kepimpinan parti di pelbagai peringkat untuk hadir beramai-ramai bagi menjayakan Ijtima’ Antarabangsa Perpaduan Ummah Ke-5 dan Himpunan Alam Melayu 2026.
Program berskala antarabangsa anjuran Kerajaan Negeri Terengganu itu dijadualkan berlangsung selama tiga hari bermula 2 hingga 4 April depan di Pekarangan Kompleks Sukan Negeri, Kuala Nerus.


Setiausaha Perhubungan PAS Negeri Terengganu, Dato’ Ustaz Haji Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, seruan tersebut dipanjangkan kepada kepimpinan setiap sayap parti termasuk Dewan Ulama, Pemuda, Muslimat, As-Sabiqun dan Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP), di samping peringkat Kawasan, Majlis Tindakan DUN (MTD) serta Cawangan.
“Bagi menjayakan program tersebut, pihak pimpinan dijemput hadir bersama ahli jawatankuasa masing-masing, selain membantu membuat hebahan yang menyeluruh kepada semua ahli serta penyokong PAS di segenap peringkat,” katanya dalam satu kenyataan rasmi hari ini.




Acara bertemakan “Alam Melayu dan Ketamadunan Islam” itu diterajui oleh Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS) dengan kerjasama Sekretariat Unit Tubuh Pejabat Menteri Besar dan Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Negeri.
Ia bakal menghimpunkan tokoh jemputan dari dalam dan luar negara berserta pelbagai pengisian menarik termasuk wacana ilmiah, pameran, ekspo kemasyarakatan dan gerai jualan.




Bagi merealisasikan hasrat tersebut, seluruh jentera penerangan parti diharap dapat memanfaatkan fungsi komunikasi setempat untuk menguar-uarkan ijtima’ berkenaan bagi merancakkan lagi kehadiran awam bersempena bulan Syawal.





























