PAS Terengganu Komited Perteguh Muafakat Nasional (MN) & Perikatan Nasional (PN)

160

Saya mengambil maklum laporan yang diterbitkan oleh portal Utusan Digital pada 13 disember 2020 berkenaan hasrat dan pendirian UMNO Terengganu untuk bertanding di semua 32 kerusi DUN dan Lapan kerusi Parlimen dalam Pilihanraya Umum Ke-15 akan datang.

Namun, pada masa yang sama, Ketua Penerangannya Datuk Nik Dir Nik Wan Ku berkata, bagaimanapun, demi kestabilan politik dan negara, Umno akur dengan apa jua keputusan pucuk pimpinan berhubung agihan kerusi dengan rakan komponen MN, PAS.

Beliau juga berkata, juga akan akur dengan keputusan pucuk pimpinan jika kaedah dan pelaksanaan pembahagian kerusi bersifat menang-menang untuk kedua-dua parti.

Justeru itu, PAS Terengganu sangat memahami keperluan untuk mengukuhkan politik melayu Islam demi kesejahteraan rakyat pelbagai agama dan kaum di Malaysia amnya dan Terengganu khususnya.

Dalam situasi politik yang tidak menentu, ekonomi yang suram ketika pandemik COVID-19 masih menular, tiada banyak pilihan kepada kita, kecuali bertindak untuk bersama-sama memperkukuhkan kerjasama dengan rakan kita dalam Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN).

Alhamdulillah di Terengganu, selaku parti yang menerajui kerajaan, PAS telah bertindak untuk teguh mempertahankan muafakat ini.

Meneruskan agihan peruntukan kewangan kepada ADUN UMNO seperti yang telah diluluskan dalam Sidang Belanjawan Negeri Terengganu 2021 baru-baru ini dan juga jemputan untuk menganggotai Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung
(JPKK) kepada sahabat kita daripada Umno dan Bersatu adalah bukti kesungguhan PAS untuk memperkukuhkan perpaduan ini.

Pun begitu, PAS Terengganu juga, Alhamdulillah telah melakukan persiapan yang perlu dalam menghadapi PRU 15 ini.

Terkini PAS melalui Jabatan Pilihanraya PAS Terengganu (JPNT) telah selesai melakukan lawatan di semua DUN dan Parlimen untuk melihat persiapan jentera Pilihanraya dan Alhamdulillah, PAS telah bersiap sedia untuk menghadapi PRU-15 pada bila bila masa InsyaALLAH.

Penetapan kerusi adalah urusan kepimpinan Pusat dan kami akan akur.

PAS dan jenteranya insyaALLAH bersiap sedia menghadapi apa sahaja kemungkinan dalam situasi politik ini.

Sekian, Terima Kasih.

‘TEGUH PERTAHAN’

YB Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah
Ketua Penerangan
Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu
28 Rab’ul-akhir, 1414H/ 14 Disember, 2020