PAS Sudah Menegaskan Tidak Bersama PAN, DAP

3321

Oleh KAM

KUALA TERENGGANU: Pesuruhjaya PAS Terengganu, Ustaz Satiful Bahri Mamat berkata, PAS sejak dari awal lagi memutuskan tidak akan bersama dengan PAN dan DAP.

Oleh itu, katanya, kebimbangan Parti Amanah Negara (PAN) jika PAS menyertai Pakatan Harapan akan merugikan pembangkang tidak berasas.

Bahkan, kata beliau, PAS juga tidak akan bersama dengan mana-mana parti yang menjalinkan kerjasama dengan kedua-dua parti tersebut.

“Kita (PAS) sebenarnya tak layan pun dengan PAN ini. Sebab, jika kita layan mereka semakin angkuh. Sebab itu, kita buat macam tidak ada apa-apa dengan PAN.

“Di Terengganu ini, orang tak kisah pun dengan PAN. Kita sejak awal lagi memutuskan tidak akan bekerjasama buat masa ini dengan PAN dan DAP,” ujarnya selepas merasmikan Himpunan Ameerah Terengganu (HAMRA) 1.0 di Perkarangan Masjid Pengadang Baru, Kuala Terengganu pada 11 Februari lalu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kebimbangan Presiden PAN, Mohamad Sabu jika PAS bersama dengan partinya akan merugikan Pakatan Harapan.

Justeru itu, kata Ustaz Satiful Bahri, PAS tidak layan dengan pujuk rayu parti itu agar bersama dengan PAN dan Pakatan Harapan.

Menurutnya, PAS sedia bertanding 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) serta lapan kerusi Parlimen di Terengganu pada PRU14 akan datang.